Misi suku akhir Speedy Tigers bermula dengan Jerman

Kuala Lumpur: Skuad Speedy Tigers perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua kemenangan dalam peringkat Kumpulan B sekiranya ingin mengesahkan tempat terus ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda.
Namun, sekiranya mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri, peluang untuk mara ke pusingan kedua juga agak tinggi selaku naib juara kumpulan dan berpeluang mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia untuk mara hingga ke peringkat lapan terbaik.
Tetapi, itu bukan tugas mudah buat skuad kendalian Brendon Carolan kerana dalam Kumpulan B, Malaysia berada di ranking paling rendah iaitu ke-14 dunia dan perbezaan kedudukan itu agak jauh berbanding lawan yang bakal dihadapi.
Justeru, Malaysia perlu menang dua perlawanan. Andai seri dalam kesemua perlawanan, peluang agak samar, manakala jika kalah dua perlawanan, Malaysia akan tersingkir namun akan turun untuk pusingan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.
Bermula esok malam, tugas sukar menanti Malaysia seawal perlawanan pertama apabila bertemu Jerman yang berada di kedudukan kelima dunia sebelum menentang Perancis (ke-9 dunia) pada Isnin, diikuti perlawanan terakhir menentang pasukan nombor satu dunia, Belgium, awal pagi Rabu.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Pelaksanaan Projek Sumber, Bekalan Air Utama Terus Dipercepat – Onn Hafiz
- Kerajaan Negeri Pahang Komited Perkasa Ekosistem Ekonomi
Melihat kepada lawan yang bakal dihadapi, sudah pasti tiada jalan lain selain turun dengan semangat juang tinggi dan mengurangkan segala kesilapan kerana sedikit kelalaian pasti akan dihukum dengan jaringan.
Pada edisi kali ini, Speedy Tigers bakal dibarisi pemain berpengalaman seperti pasangan adik-beradik, Fitri dan Faizal Saari, Shello Silverius, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri dan Syed Syafiq Syed Cholan.
Sementara itu, tugas ketua pasukan pula bakal diberikan kepada ‘otai’ dalam pasukan iaitu Marhan Jalil bagi memastikan pemain dapat beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan.
Pada edisi 2023, Malaysia hampir layak ke suku akhir namun tewas dalam penentuan penalti kepada Sepanyol sebelum menamatkan saingan di kedudukan ke-13 keseluruhan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.