Kos Haji: Saifuddin pertikai janji Menteri Agama

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Seri Saifuddin Nasution mempertikai tindakan kerajaan yang meminta jemaah haji untuk bersiap sedia dari segi kewangan susulan penambahan caj kos haji yang akan dikenakan Arab Saudi.

Beliau berkata, dalam jawapan bertulis yang diberikan kepadanya berhubung isu berkenaan sebelum ini, Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memaklumkan akan terus membantu jemaah haji melalui subsidi.

Namun katanya, kenyataan menteri pada semalam bercanggah dengan jawapan bertulis yang diberikan.

“Saya pernah bertanya kepada menteri di dalam Parlimen tentang isu ini. Jawapan bertulis menteri kepada saya, kerajaan melalui Tabung Haji (TH) akan terus bantu jemaah haji melalui subsidi.



“Hari ini lain pula kenyataan menteri. Berapa tanggungan subsidi TH? Jawabnya RM400 juta setahun. Soalan seterusnya apakah TH sudah tidak mampu (tanggung kenaikan kos haji)?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook.

Semalam, Zulkifli meminta jemaah haji pada tahun hadapan bersedia berdepan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kerajaan Arab Saudi dengan menambah simpanan deposit dalam akaun Tabung Haji.

Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu kata Saifuddin, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah membuat langkah menyelamatkan TH dengan nilai RM20 bilion untuk tempoh 10 tahun mulai 2020 disebabkan banyak pelaburan TH telah rugi.



Menurutnya, TH tiada masalah dalam menguruskan simpanan pendeposit, namun masalah kewangan TH berlaku apabila keputusan pelaburan TH di lebih 100 buah syarikat mengalami kerugian.

“Ini memberi kesan kepada kedudukan kewangan keseluruhan TH. Kesannya? TH menghadapi masalah mengekalkan hibah yang tinggi dan menanggung subsidi haji.

“Saya akan menulis lagi kepada menteri agama tentang perkara ini,” katanya. MD

Arab Saudi dijangka kenakan syarat, caj tambahan baharu kepada bakal haji



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker