Perdana Menteri nyaris jadi mangsa pengebom nekad
MOGADISHU: Enam individu termasuk tiga pegawai kanan tentera terbunuh susulan serangan pengebom nekad di stadium dekat bandar Galkayo ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Hussein Roble, semalam.
Polis berkata, kumpulan militan Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan nekad itu dalam perhimpunan orang ramai untuk mendengar ucapan Mohamed Hussein.
Bagaimanapun, ketika serangan berlaku, Mohamed Hussein belum tiba di perhimpunan berkenaan.
“Terdapat letupan kuat berpunca daripada seorang pengebom nekad di pintu masuk stadium. Ia membunuh enam orang termasuk tiga pegawai kanan tentera,” kata pegawai polis tempatan, Mohamed Abdirahman.
Farxad ayay ii ahayd in aan caawa waqti la qaato bulshada Cadaado oo ah magaalo nabdoon, dhaqso u koreysa, tusaalena u ah nabadda iyo isku tashiga, kaalinna ku lahayd dhismaha Galmudug. Reer Cadaado waxaan ku boorrinayaa inay ku fara adeygaan nabadda ay haystaan. pic.twitter.com/UlnzDIcqq7
— Mohamed Hussein Roble (@MohamedHRoble) December 17, 2020
Kolonel Komandan tentera, Ahmed Dahir pula berkata, jumlah kematian yang tepat belum dapat disahkan.
“Pengebom nekad mensasarkan pegawai kanan tentera yang berada dekat dengan pintu masuk stadium,” kata seorang saksi, Naima Ali.
Naima berkata, dia melihat beberapa individu cedera parah dan terkorban termasuk beberapa orang yang memakai seragam tentera namun tidak dapat memastikan berapa jumlahnya.
Bandar Galkayo terletak di wilayah Mudug adalah kota terbahagi antara dua negeri, Puntland dan Galmudug.
Sementara itu, Al-Shabaab dalam satu kenyataan mengakui serangan itu disasarkan kepada Perdana Menteri tetapi hanya dua pegawai tentera dari unit tempatan terbunuh. – AFP