Norihan belum puas berguru dengan Baharuddin

“Belum puas”, demikian luahan anggota Batalion ke-3, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, mengenai kehilangan rakan seperjuangannya, Sarjan Baharuddin Ramli dalam insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, bulan lalu.

Norihan, 39, yang terselamat selepas terkena tiga das tembakan oleh penyeludup semasa menjalankan tugas risikan dengan Baharuddin menyifatkan, mendiang seorang yang mempunyai kepakaran tinggi terutama mengesan jejak dalam hutan.

“Saya masih belajar dengan mendiang dan tidak sempat menuntut kepakarannya lebih mendalam. Bila sembuh nanti, perkara pertama saya hendak lakukan ialah mempraktikkan semula teknik-teknik yang diajar, termasuk cara mengesan jejak binatang dan manusia di dalam hutan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima sumbangan kebajikan daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia Datuk Kamaruddin Mat Desa, di Batalion 3 PGA, Bidor. Turut menerima sumbangan ialah balu mendiang Baharuddin iaitu Relow Ko.

Dalam insiden pada pukul 3.10 pagi, 24 Nov lalu, Norihan cedera parah manakala Baharuddin terbunuh, ketika kedua-dua anggota itu terlibat dengan Op Benteng di sempada negara.

“Saya amat bersedih dan terkejut kerana tidak tahu mendiang telah meninggal dunia, sehinggalah isteri saya memberitahu mengenai kematiannya selepas saya menjalani pembedahan dua hari selepas kejadian,” kata Norihan.

Norihan berkata beliau dibenarkan pulang ke rumah di Bidor pada 6 Dis selepas menjalani pembedahan membuang sebutir peluru berdekatan paru-paru di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 26 Nov, manakala dua butir lagi peluru masih tertanam di perut dan tulang pinggul.

“Kedua-dua peluru ini belum dikeluarkan atas faktor keselamatan saya kerana pembedahan ada risiko lumpuh,” katanya.

Ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, Norihan yang telah 17 tahun berkhidmat sebagai anggota polis berkata, keadaannya bertambah baik namun hanya dibenarkan mengambil makanan lembut seperti bubur dan dijadual berjumpa doktor pakar usus pada minggu depan di HPP.

“Saya mampu berjalan tanpa bantuan, tetapi berasa sedikit mengah selepas berjalan agak jauh kerana terdapat kecederaan pada paru-paru,” katanya yang juga akan mendapatkan rawatan pakar tulang di hospital sama.

Berkongsi kisah tragis itu, Norihan berkata beliau telah menggagahkan diri mencari bantuan dalam keadaan berlumuran darah akibat selepas terkena tembakan, sebagaimana diarahkan mendiang Baharuddin.

“Saya berlari dalam denai dan bukit bukau sejauh satu kilometer sebelum tiba di Pos TS9 dekat Padang Besar, dengan harapan mendiang Baharuddin masih selamat, tapi sebaliknya berlaku,” katanya yang menyifatkan kejadian itu akan terus dikenang. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker