Polis tumpas sindiket pelaburan emas bernilai RM930,920
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menumpaskan sindiket penipuan pelaburan emas dengan penahanan empat suspek di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah, pada 17 Disember lalu.
Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima sembilan laporan polis ke atas Pelaburan Goldmine International melibatkan kerugian RM930,920 sejak September tahun lalu.
“Dalam serbuan kira-kira jam 1.15 pagi hingga 2.30 pagi, polis menangkap empat suspek warga tempatan berusia 30 hingga 60 tahun.
“Polis turut menangkap seorang lelaki dipercayai perancang utama sindiket ini iaitu Abdul Mutalib Ismail, 60 tahun, yang dikenali sebagai Datuk Nadim.
“Abdul Mutalib mempunyai rekod lampau di mana dia pernah didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menjalankan penipuan pelaburan Crude Palm Oil Pada 2017.
“Pada masa sama tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) juga telah diambil dan harta miliknya telah disita,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, hari ini.
Menurutnya, pelaburan Goldmine International adalah berlandaskan emas tetapi sebenarnya ia tidak wujud dan tiada langsung menjalankan urusan perniagaan emas.
Jelasnya, sebanyak empat pakej pelaburan ditawarkan sindiket ini kepada pelabur tempatan, serendah RM420 hingga RM42000 dengan kadar keuntungan yang berbeza.
“Semakin banyak pelaburan dibuat, semakin tinggi pulangan keuntungan dijanjikan sindiket ini.
“Pakej 1 bernilai AS$100 (RM420) dengan pulangan 10 peratus atau RM42 setiap minggu tanpa had.
“Pakej 2 bernilai AS$500 (RM2100) dengan pulangan 10 peratus atau RM210 setiap minggu tanpa had.
“Pakej 3 bernilai AS$1000 (RM4200) dengan pulangan 11 hingga 12 peratus atau RM420 setiap minggu tanpa had.
“Pakej 4 bernilai AS$10,000 (RM42,000) dengan pulangan 13 peratus atau RM5400 setiap minggu tanpa had,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis juga merampas tiga telefon bimbit, satu beg kertas mengandungi wang tunai bernilia RM13,600, pelbagai kad ATM milik bank tempatan dan satu fail mengandungi pelbagai dokumen dipercayai berkaitan pelaburan Goldmine International.
“Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu dengan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
“Kesalahan ini boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda,” katanya lagi. MG
You must be logged in to post a comment.