Saudi buang kandungan anti-Yahudi, anti-Zionis dalam buku teks

Berlaku pengurangan ketara dalam kandungan anti Yahudi dan anti Zionis dalam buku teks Arab Saudi untuk sesi persekolahan akan datang, kata kumpulan pemantau yang berpangkalan di Baitulmaqdis pada Selasa yang memetik satu laporan.

Laporan itu diterbitkan ketika timbulnya cakap-cakap mengenai normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi baru-baru ini, lapor The Times of Israel.

Minggu lepas, penasihat kanan Rumah Putih, Jared Kushner berkata, normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi “tidak dapat dielakkan”.

“Meskipun laporan… terbaru tidak mendapati kandungan bertoleransi baharu dimasukkan dalam kurikulum, namun sejumlah besar kandungan yang ofensif dibuang,” kata Institute for Monitoring Peace and Cultural Tolerance in School Education (IMPACT-SE), yang mengkaji bahan pendidikan, dalam kenyataan.



Ia mendapati buku teks tidak mengandungi ramalan perang agama yang menyebut orang Islam akan membunuh semua orang Yahudi – ramalan yang mendasari anti-semitisme di dunia Islam.

Selain itu, kiasan anti-semitisme klasik yang menyebut orang Yahudi sebagai “kuasa Zionis” dan menggunakan pelbagai kaedah, termasuk wang, wanita, dan dadah untuk menguasai dunia turut dibuang.

“Dengan mengkaji laporan kami mengenai kurikulum Saudi bagi 2002, 2008 dan 2019, jelas bahawa buku teks 2020 yang baharu menunjukkan usaha memodenkan kurikulum Saudi,” kata ketua pegawai eksekutif IMPACT-SE, Marcus Sheff.

“Pihak berkuasa Saudi telah memulakan proses menghapuskan kebencian terhadap orang Yahudi.”



Bagaimanapun pertubuhan itu berkata, kandungan anti-Israel masih terdapat dalam kurikulum negara berkenaan.

Sejak Ogos, Israel bersetuju menjalin hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, dan Maghribi. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker