Orang tua sukar beri peluang kepada orang muda, kata Syed Saddiq

Untuk ahli politik lebih tua mengubah cara mereka dan memberi peluang kepada orang muda bukan usaha mudah, tetapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganggap ia sebagai tanggungjawabnya berbuat demikian.

Ahli Parlimen Muar itu bertegas, muda bukan hanya usia fizikal seseorang, sebaliknya ia adalah keadaan pemikiran yang boleh dicapai semua peringkat umur.

“Anda juga boleh memiliki seseorang yang berusia semuda 21 dan 22 tahun, tetapi masih menggunakan pemikiran lama, kronisme, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan mahu ‘mempermainkan’ sistem itu.

“Pada masa sama, anda juga boleh mempunyai seseorang yang berusia 60-an atau 70-an, tetapi boleh berfikir seperti orang muda; yang mempercayai kesaksamaan, keadilan dan egalitarianisme dalam mengejar Malaysia yang lebih makmur dan bersatu,” katanya.



Bekas menteri belia dan sukan itu menggesa rakan seniornya di Parlimen menerapkan mentaliti lebih muda kerana ia penting bagi rakyat mengiktiraf orang muda sebagai aset.

Selepas melalui kritikan pedas yang lebih daripada sepatutnya di Dewan Rakyat kerana usianya, Syed Saddiq tahu perubahan terhadap rakannya yang lebih berusia tidak semudah yang dikatakan.

Namun, katanya, beliau menolak untuk “bertindak seperti mereka” dan kekal optimis mengenai masa depan negara. Lagipun, Rang Undang-undang (RUU) Undi 18, yang beliau usahakan bagi menurunkan umur pengundi Malaysia daripada 21 kepada 18 tahun, bukannya diluluskan dengan mudah.

Pun begitu, ia merupakan kejayaan besar. RUU itu diluluskan dengan sokongan hampir sebulat suara, pindaan Perlembagaan pertama yang mendapat sokongan sedemikian dengan 211 Ahli Parlimen menyokong.



Ia merupakan usaha yang beliau banggakan.

“Ada yang berpendapat, dilantik sebagai menteri pada usia 25 tahun adalah perkara terbesar, tetapi secara peribadi, ia adalah ketika kita mencipta sejarah dengan sokongan bipartisan untuk meminda Perlembagaan Malaysia.

“Ini sangat penting kerana dalam sejarah politik Malaysia, bipartisan tidak pernah diiktiraf. Kita selalu berpecah belah disebabkan tembok politik, kita berada dalam kem politik dan sangat sukar untuk orang menyeberangi halangan ini untuk bekerjasama antara satu sama lain.

“Apabila seseorang berada dalam pembangkang…anda adalah musuh negara, dan mentaliti itu salah. Jadi, untuk meminda Perlembagaan bukan sekali atau dua kali, tetapi tiga kali dalam jangka sehari adalah pencapaian besar.”



Tiga pindaan itu adalah: mengurangkan usia pengundi daripada 21 kepada 18 tahun; melaksanakan pendaftaran pengundian automatik; dan mengurangkan usia pencalonan kepada 18 tahun, semuanya akan membabitkan kira-kira 7.8 juta pengundi muda yang baru.

Di sebalik itu, tenaga dan dorongan Syed Saddiq ada kaitan dengan ibunya yang “gila bekerja”, seorang guru di Johor yang mengajar beliau berpegang kepada pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Beliau berkata, pengalamannya di Maktab Tentera Diraja (RMC) juga membantu, yang bukan saja mengajarnya disiplin, tetapi untuk tampil dengan penyelesaian kreatif ketika menduduki peperiksaan kemasukan.

“Terdapat kira-kira 200 orang (untuk ujian penglihatan), tetapi saya orang pertama dalam barisan. Pada masa itu, anda tidak ada telefon hebat dengan kamera hebat, tetapi ada telefon biasa.



“Jadi, saya ambil gambar semua papan besar itu untuk ujian penglihatan, pergi ke belakang barisan, hafal huruf daripada atas ke bawah dan kembali ke depan. Doktor berpendapat penglihatan saya sempurna.”

Dengan mengetepikan helah kecil itu, visi Syed Saddiq untuk negara adalah jelas. Beliau percaya nilai anak muda Malaysia ditentukan kemampuan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat, bukan sekadar tahun kelahiran mereka.

Membenarkan mereka memegang jawatan tertinggi dalam syarikat dan kerajaan, katanya, akan mewujudkan “proses membuat keputusan yang pelbagai” menjangkau faktor tradisional bangsa dan agama.

“Suka atau tidak, struktur kuasa di Malaysia, sebahagian besar masih dikuasai mereka yang jauh lebih tua daripada kita.



“Saya rasa jika anda boleh mengubah cara pemikiran generasi tua, anda dapat mengubah sistem dan struktur kuasa secara keseluruhan.

“Sekiranya kita dapat ubah, waktu itu anda akan lihat lebih banyak halangan yang tidak nampak itu, yang menghalang orang muda, dimusnahkan.”

Adrianne Fernandez dan Ethan Lee ialah pelajar asasi seni di Universiti Taylor yang turut menyumbang kepada laporan ini. FMT

Syed Saddiq: Negara luar iktiraf orang muda, Malaysia iktiraf orang tua



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker