Cubaan melombong emas digagalkan pihak berkuasa

Rompin: Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin berjaya menumpaskan cubaan melombong emas haram di Kompartmen 222 Hutan Simpan Ibam, di sini, kelmarin.

Pegawai PHD Rompin Shairani Mamat berkata, selepas menerima aduan orang awam usaha mengesan lokasi berkenaan segera dilakukan pasukan Unit Tindakan Khas yang diketuai Pengawas Hutan Ismadi Ab Karim.

Menurutnya, serbuan di tempat berkenaan gagal menemui individu yang cuba melakukan kegiatan haram itu.

“Namun kami menemui khemah yang dipercayai tempat mereka berehat sebelum menjalankan aktiviti melombong berskala kecil itu.

 

Palong kayu yang akan digunakan untuk melombong emas secara haram ditemui dalam Hutan Simpan Ibam. FOTO/MOHD RAFI MAMAT
Palong kayu yang akan digunakan untuk melombong emas secara haram ditemui dalam Hutan Simpan Ibam. FOTO/MOHD RAFI MAMAT

 

“Pemeriksaan turut menemui dua enjin air, palong kayu serta beberapa peralatan dipercayai untuk digunakan bagi mencari gali emas tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, Hutan Simpan Ibam sebelum ini menjadi tumpuan kegiatan melombong emas secara haram namun operasi yang dilakukan secara berterusan membuatkan sindiket terbabit tidak lagi aktif.

Dalam perkembangan berkaitan, Shairani berkata, awal Januari lalu pihaknya berjaya menahan empat individu termasuk seorang warga emas yang melakukan aktiviti melombong emas secara haram di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam dekat Muadzam Shah.

Katanya, Hutan Simpan Ibam yang luas dan terdapat banyak lorong tikus menimbul sedikit kesukaran untuk mengesan aktiviti menceroboh hutan berkenaan namun itu tidak menghalang usaha melumpuhkan kegiatan salah itu daripada terus berlaku.-HM

Stesen minyak dikompaun jual petrol mahal

Leave a Reply