Stesen minyak dikompaun jual petrol mahal · MYKMU.NET

Stesen minyak dikompaun jual petrol mahal

Share

Rompin: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Rompin mengesan perbuatan sebuah stesen minyak di sini, yang menjual petrol RON95 pada harga melebihi ditetapkan kerajaan, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Rompin, Raja Azwan Shah Raja Ahmad berkata, selepas menerima aduan pengguna, pihaknya membuat pemeriksaan dan mendapati stesen minyak terbabit menjual petrol RON95 pada harga RM1.67 seliter, melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan RM1.64 seliter.

Menurutnya, pihak terbabit juga bertindak menjual petrol RON97 pada harga RM1.97 seliter, melebihi harga ditetapkan RM1.94 seliter.

“Pengusaha stesen minyak terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011, sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM2,000.

“Kita memberi tempoh selama 14 hari daripada tarikh kejadian untuk pengusaha stesen minyak terbabit menjelaskan kompaun yang dikenakan dan tindakan mahkamah akan diambil jika kompaun tidak dapat dibayar,” katanya, di sini hari ini.

Raja Azwan Shah berkata, stesen minyak di daerah ini diingatkan supaya dapat mematuhi peraturan sedia ada terutama membabitkan harga minyak yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, kerjasama pengguna yang peka dengan harga semasa bahan api dapat membantu pihaknya mengesan dan mengenakan tindakan undang-undang pada pihak yang tamak dan bersikap mementingkan diri sendiri.-HM

Harga Petrol Lagi Mahal Zaman Mahathir

Leave a Reply