Dia Kini Terlantar Di Katil, Hilang Ingatan – Bapa

Pasir Gudang: Dia bukan sahaja terlantar di katil sebaliknya juga hilang ingatan selepas dilanggar lari.

Itu nasib malang menimpa penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 19, selepas terbabit dalam kemalangan di Desa Rakyat, di sini, pada 3 November lalu.

Bapanya, Arbain Ramli, 48, berkata, anak sulung dari dua beradik itu hilang ingatan akibat pendarahan dalam kepala malah sebahagian tempurung kepalanya terpaksa ditanggalkan.

“Dia (anak) juga patah peha kiri dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Taman Cahaya Masai di sini, hari ini.

Mengimbau kembali insiden itu, Arbain berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 12 tengah malam apabila sebuah kenderaan jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki membelok ke arah kanan secara tiba-tiba sebelum motosikal ditunggang Muhammad Israf merempuh kenderaan itu.

“28 hari anak saya ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) termasuk 14 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU). Sekarang ini dia hanya terlantar, kadang kala mengerang, kejangkan tangan sehingga (tangan) terpaksa diikat kerana agresif mengganggu salur minumannya,” katanya berkongsi keadaan terkini anaknya itu.

Menurutnya, dia berusaha keras mencari pemandu kereta berkenaan sebelum berjaya menemuinya minggu lalu.

“Saya cari orang yang langgar lari anak, minggu lalu sudah jumpa lelaki yang melanggar anak dan memintanya supaya membuat laporan polis. Mulanya lelaki itu enggan membuat laporan kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Namun dia akur dan sudah membuat laporan polis,” katanya.

Arbain yang juga pemandu lori berkata, sebelum kemalangan Muhammad Israf sempat membelikan nasi bungkus untuk mereka sekeluarga.

Malah katanya, anak sulungnya itu sempat bergurau dengan menyorok di sebalik tangga untuk sergah ibunya, Norazilah Adon, 46, yang pulang bekerja.

“Sekarang ini ibunya menjaga sepenuh masa, terpaksa ambil cuti tanpa gaji sudah dua bulan. Risau juga dengan keadaan sekarang ini bimbang dibuang kerja kerana bercuti terlalu lama.

“Kos susu khas anak sebulan cecah RM1,500 itu tidak termasuk lampin pakai buang, tiub kahak dan keperluan lain. Susu satu tin hanya boleh bertahan dua hari kerana anak perlu minum melalui tiub enam kali sehari,” katanya yang memaklumkan anaknya itu masih menuntut semester tiga Diploma Pengurusan Teknologi KYPJ.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Zaiton Ismail berkata, pihaknya akan membantu urusan permohonan kad Orang Kurang Upaya (OKU) buat Muhammad Israf.

“Kami juga akan membantu dari segi permohonan bantuan penjaga anak OKU terlantar RM300 sebulan. Kita akan cuba mempercepatkan urusan bantuan bulanan ini,” katanya.-HM

6 bulan koma kecederaan otak, remaja ini kekal positif mencari kerja demi kelangsungan hidup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker