Wanita Maut Dihempap Kenderaan Terjunam
GEORGETOWN: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta yang kemudian menyeretnya sebelum melanggar tembok parkir Kondominium Green Lane Park, di Jelutong dan terjunam dari ketinggian enam meter dan menghempap mangsa.
Mangsa, Kim Hui Ping, 49, dari Taman Desa Damai, Bukit Mertajam sedang berjalan di parkir kondominium itu apabila dia tiba-tiba dirempuh kereta Toyota Vios dipandu wanita berusia 71 tahun sebelum diseret dan melanggar tembok parkir dan jatuh.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kemalangan itu berlaku pada jam 12 tengah hari.
Katanya, wanita pemandu kereta Toyota Vios itu secara tidak sengaja terlanggar Hui Ping yang melintas di hadapannya ketika melalui selekoh parkir terbabit.
“Pemandu itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum melanggar Hui Ping yang tiba-tiba melintas lalu merempuh tembok penghadang parkir.
“Rempuhan kuat menyebabkan kenderaan itu terjunam dari ketinggian enam meter dan menghempap mangsa serta sebuah lagi kenderaan,” katanya lagi.
Kedua-dua wanita berkenaan dipercayai penduduk kondominium terbabit.
Mengulas lanjut Soffian berkata, Hui Ping disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria, berkata ketika mereka sampai di lokasi kejadian, didapati kereta Toyota Vios itu dalam keadaan terbalik di bawah tempat parkir itu, terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter.
“Pemandunya masih tersepit di tempat duduk manakala seorang lagi wanita berada di bawah bahagian depan kereta.
“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa di bawah kereta itu,” katanya.
Yusri berkata mangsa yang cedera itu dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut. BH
Pemandu mabuk maut, kereta terjunam dalam longkang
You must be logged in to post a comment.