Puaka 120 dan undi belah bahagi belanjawan di Parlimen

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Sekarang menjadi penanda aras rakyat ke atas Anwar untuk menunaikan janji menolak belanjawan dengan sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Mungkin juga termasuk mereka dalam SD yang didakwa terdiri daripada Ahli Parlimen Umno kecuali Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai pelan alternatif atau pelan lain di saat akhir.

Lebih mengkalutkan keadaan apabila beredar satu kenyataan media palsu yang mengatakan bahawa Anwar menawarkan diri untuk berundur susulan kegagalan PH menolak Belanjawan 2021.



Pembantu Presiden PKR itu menafikan kenyataan itu dikeluarkan oleh Anwar. Kenyataan itu menyatakan kononnya Anwar mengakui kekhilafan berlaku semasa undian belanjawan.

Anwar menegaskan kompromi yang dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 adalah kemenangan untuk rakyat dan pembangkang.

Antara perubahan yang dibuat adalah meluaskan program pengeluaran akaun 1 KWSP i-Sinar untuk merangkumi semua pencarum yang terjejas pendapatan, dengan peningkatan had keluar kepada RM10,000, serta moratorium pinjaman bank secara automatik kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Anwar mempertahankan langkah PH yang tidak meminta pengundian belah bahagi untuk Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.



Walaupun ia adalah berita palsu, telah timbul beberapa andaian bahawa PKR perlu menukar kepimpinan mereka. Terdapat kalangan tanggapan supaya kepimpinan lebih muda dan segar di ketengahkan.

Pandangan mengatakan bahawa Anwar mesti berundur. Ini kerana strategi Anwar sudah banyak kali gagal dan tahap Anwar adalah penasihat bukan lagi memimpin.

Pandangan dari Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Keat agak mengejutkan apabila mengeluarkan kenyataan mahukan pemimpin pusat partinya supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH jika ketua pembangkang itu masih menganggap keputusan itu adalah tepat.

“Pemimpin pusat DAP harus putuskan hubungan dengan PKR, biarlah Pakatan Harapan dibubarkan dan hanya mengekalkan kerjasama yang minimum dengan parti pembangkang.



Mungkin ini sikap marah atau terburu-buru, darah muda seorang pemuda yang tidak mencerminkan pandangan kepimpinan DAP tetapi juga sebagai tanda bahawa Anwar tidak boleh melakukan kesilapan lagi kerana DAP akan bertanggungjawab kepada pengundinya.

Sebagai parti terbesar dalam Parlimen, DAP tidak mampu untuk menunjukkan kelemahan mereka dengan sentiasa akur dan tidak dapat membuat keputusan sendiri.

Terdapat pandangan supaya Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Mohamad Ezam Mohd Nor diketengahkan sebagai bakal pemimpin yang menggantikan Anwar.

Dalam kedua-dua undi belah bahagi didakan dua hari lepas, keputusannya lebih kurang antara 106 dan 105 dan perbezaan 10 undi menunjukkan PN tidak mampu mencapai jumlah 112 pun. Ini menunjukkan kerajaan PN tidak stabil dan lemah. Majoriti mudah 112 pun tidak mampu diperolehi.



Berbalik angka 120 ini, andainya pada 15 Disember nanti, setelah diadakan perdebatan, undi belah bahagi dilakukan, berapakah bilangan Ahli Parlimen yang akan menentang belanjawan?

Jika dirujuk kepada undi belah bahagi pada bacaan kedua lepas 13 Ahli Parlimen menentang kelulusan Belanjawan 2021, ini bermakna jika 41 Ahli Parlimen DAP menyokong, (tolak satu menentang belanjawan peringkat dasar), PKR 37 (tolak satu menentang belanjawan peringkat dasar), Anwar hanya ada 91 kerusi Parlimen.

Angka itu masih tidak mencukupi untuk beliau menang dalam menentang Belanjawan 2021 disamping tiga kerusi bebas yang masih tidak pasti ke arah manakah sokongan mereka.

Ahli Parlimen Warisan bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian berkenaan sebagai cara “menghantar isyarat” kepada PH. Tidak dipastikan adakah Warisan akan mengambil bahagian di peringkat grand finale nanti.



Berbalik kepada jumlah sokongan, adakah penolakan Anwar supaya tidak dilakukan undi belah bahagi kerana berhadapan dengan jumlah undi sokongan yang tidak mencukupi apabila Ahli Parlimen Umno didapati tidak menentang keputusan itu?

Walaupun telah dinyatakan SD tiada kaitan dengan belanjawan tetapi ia tetap menjadi persoalan apabila setiap perkara yang dikait dengan sokongan undi dikaitkan dengan angka 120 atau lebih.

Adakah tindakan Anwar untuk mengelakkan mendapat malu jika undi belah bahagi dilakukan pada masa itu dan ternyata beliau tidak mendapat sokongan yang diperlukan?

Jika wujudnya Ahli-ahli Parlimen yang berada dalam kumpulan kelabu tiba-tiba beralih angin setelah berkompromi dengan Muhyiddin adalah sukar untuk Anwar mendapat angka 120 atau berjaya dalam penolakan Belanjawan 2021.



Nampaknya, adakah bilangan ditunggu itu perlu bergantung kepada Ahli Parlimen Umno dan Ahli Parlimen bebas, boleh ini menjadi kunci kepada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri?

Maka, dari perhitungan atas kertas, sukar juga PH merampas semula kuasa. Adakah Umno akan menyokong dalam pembentukan kerajaan baharu yang bakal dibentuk? Adakah pada peringkat undi belah bahagi muktamad puak Mahathir akan bersama pembangkang lain?

Takut juga bilangan 120 akan menjadi puaka 120 yang akan memakan diri dan parti dan membawa pepecahan kepada PH pula. MD

*ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Ahli Parlimen pembangkang keliru dengan undi belanjawan, kata Baru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker