Ahli Parlimen pembangkang keliru dengan undi belanjawan, kata Baru

KUCHING: Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian berkata, kekeliruan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang menyebabkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar semalam.

Ahli Parlimen dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu, yang dipercayai seorang daripada 13 ahli Parlimen bangun untuk meminta undi belah bahagi, berkata kekeliruan itu akibat arahan saat-saat akhir whip pembangkang untuk tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.

“Ahli Parlimen PKR dan DAP melihat pemimpin mereka sama ada mahu berdiri atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya dapati ada yang berdiri dan kemudian duduk sebab pemimpin mereka tidak berdiri untuk memilih undi belah bahagi.”

Beliau berkata, pembangkang patut menyokong undi belah bahagi untuk menolak belanjawan berikutan ia tidak komprehensif, dan Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan sah yang mendapat mandat rakyat.

Katanya, banyak kebimbangan pembangkang tidak diambil kira dalam ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

“Sama ada kita berjaya (dalam menolak belanjawan) atau tidak ialah isu lain. Prinsip di sebalik pengundian itu penting. Berdasarkan 2 sebab itu, saya yakin pembangkang perlu mengundi untuk menolak belanjawan,” kata Baru.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker