Ada kalanya rasa terhina ‘diterjah’ rakan, akui Annuar

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa – yang kini selalu menjadi sasaran kritikan sesetengah pemimpin Umno – tidak berhasrat untuk membalas serangan berkenaan walaupun berasa sedikit terhina atas tindakan tersebut.

Jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, dia beranggapan apa yang berlaku sekarang adalah lumrah politik dan tetap berpegang pada pendiriannya berhubung kedudukan Umno.

“Ada pihak yang meminta saya ulas terjahan rakan-rakan terhadap saya, khususnya dari selatan. Saya ramai rakan di sana. Negeri dan individu yang saya pandang tinggi.

“Saya tidak gemar serang menyerang terutama sesama sendiri. Lagi pun saya tiada ‘vandetta’ atau dendam pada sesiapa. Walaupun rasa sedikit terhina, tidak mengapalah, sudah adat kita berpolitik,” katanya di media sosial hari ini.

Beberapa hari lalu, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, dilaporkan menganggap Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno.

Kritikan itu dibuat antara lain kerana kenyataan Annuar yang konsisten memihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan sekarang berbanding sesetengah pemimpin Umno yang memberikan sokongan bersyarat serta suara-suara tidak puas hati kepada gabungan berkenaan.

Kebenaran perlukan masa

Untuk rekod, di sebalik penyertaan beberapa pemimpin Umno dalam kabinet PN – seperti Annuar yang menjadi menteri Wilayah Persekutuan – Umno tetap berada di luar gabungan berkenaan.

“Dia ‘dah mati’ dalam Umno tetapi tak mahu lompat ke Perikatan Nasional (PN),” kata Nur Jazlan seperti dilaporkan portal berita FMT.

Nur Jazlan mengulas kenyataan Annuar – Umno dalam wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan – antara lain menyatakan segelintir ahli Umno lupa bahawa parti itu ialah parti yang kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Nur Jazlan

 

Kata Annuar, pihak yang mengecamnya itu adalah individu yang jauh lebih hebat daripada dirinya yang dianggap ‘mati’.

“Saya percaya mereka jujur dan akan terus menghidupkan perjuangan parti,” katanya.

Dalam hantaran itu juga Annuar menyentuh tentang poster yang memfitnahnya akan bersama parti Bersatu.

Kata Annuar dia memilih untuk berterus terang dalam memperkatakan soal parti itu dan memahami jika ia disalah tafsir pihak lain.

“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang. Mungkin saya mudah disalahmengertikan .Tidak mengapa, kebenaran kadang-kala memerlukan masa.

“Saya faham semua orang ikhlas nak Umno berjaya, cuma cara mungkin berbeza. Kita raikan perbezaan itu, saya tidak semestinya betul.

“Tapi hati saya kuat berkata bahawa umno mesti perkasakan politik taawun (kerjasama) dan taayush (wujud bersama). Rasulullah SAW mengamalkannya,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker