Ambulans Uncle Kentang kini 8 buah, pasang hasrat lancar ke seluruh negara

Share

Dermawan Kuan Chee Heng mahu memperluas perkhidmatan ambulans percumanya ke seluruh negara.

Lebih mesra dipanggil Uncle Kentang, organisasinya, Community Policing Malaysia (CPM), hari ini melancarkan ambulans ke-8 untuk kemudahan individu yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.

“Kita rancang untuk melancarkan 4 lagi ambulans, mungkin tahun depan. Seterusnya di kawasan Pengerang di Johor kerana jarak ke Johor Bahru agak jauh.

“Akhirnya, kita berharap dapat lancar ambulans ini ke seluruh Malaysia,” katanya.

Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.
Kuan membeli ambulans itu pada harga RM150,000 melalui sumbangan daripada penyokong NGO itu di Facebook.

Community Policing Malaysia juga mempunyai 8 van jenazah bagi mereka yang memerlukan, selain menyediakan perkhidmatan teksi untuk membawa pesakit pergi dan balik ke fasiliti perubatan.

Kuan berkata, ambulans NGO itu adalah inisiatif bagi membantu banyak isi rumah berpendapatan rendah yang memilih untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan kerana tidak mampu menanggung kos perjalanan.

Jelas beliau, perkhidmatan seperti itu membantu mereka yang berpendapatan rendah memperoleh intervensi awal supaya mereka dapat mengelakkan rawatan perubatan yang lebih mahal pada masa akan datang.

Katanya, ambulans juga digunakan untuk mengangkut individu dari negeri berjiran yang perlu pergi ke Lembah Klang bagi mendapatkan rawatan pakar.

Mengambil maklum bahawa kos sewa ambulans dari Kuala Lumpur ke Terengganu boleh mencecah sehingga RM2,000, Kuan berkata, perkhidmatan ambulansnya membantu menyediakan pengangkutan bagi mereka yang mahu berada di kampung halaman pada hari-hari terakhir mereka.

“Sekiranya ibu bapa anda kelihatan tenat dan mereka ada hajat terakhir untuk ditunaikan, seperti mungkin mahu pulang ke kampung halaman, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kos, anda akan menyesal seumur hidup anda.

“Telefon saya. Saya akan aturkan pengangkutan,” katanya.

Mereka yang mahu memberi sumbangan seperti barang keperluan atau dana boleh menghubungi Kuan dan pasukannya di “Kentang Fund” melalui talian: 018-2683999. FMT

Uncle Kentang, hero yang tidak didendang

Leave a Reply