Uncle Kentang, hero yang tidak didendang

PUCHONG: Siapa yang tidak kenal dengan Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng, aktivis sosial berketurunan Cina yang sangat sinonim dengan kerja-kerja kebajikan. Di kalangan orang melayu sahaja, Uncle Kentang adalah salah seorang “hero’, membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa mengira kaum atau agama.

Pelbagai usaha dilakukan dalam membantu mereka yang mempunyai masalah kewangan. Baginya untuk melakukan kebajikan, tidak perlu masa dan tempat yang khusus dan semua manusia harus berganding bahu untuk membantu satu sama lain.

Berpunca dari pengalaman hidup yang susah suatu ketika dahulu, Uncle Kentang tidak mahu perkara yang sama dialaminya berulang kepada orang lain kerana itulah dia cuba membantu selagi terdaya. Dia menyediakan kemudahan teksi 10 sen hinggalah van jenazah RM1 semata-mata untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Terbaharu, Uncle Kentang dan organisasinya, “Community Policing Malaysia” sedang berusaha menyediakan aplikasi mobile untuk memudahkan perkhidmatan bantuan diberikan kepada yang memerlukan dengan kadar segera.

 

 

Uncle Kentang menyediakan rumah transit dengan sewa RM1 semalam.

Menurut Uncle Kentang dia mendapat gelaran tersebut apabila setiap bantuan makanan dapur yang disumbangkan disertakan bersama sepeket kentang. Dari situlah orang ramai mula memanggilnya Uncle Kentang.

Bercerita mengenai kisah lampaunya yang hidup dalam kedaifan, Uncle Kentang atau Kuan yang juga seorang usahawan berkata, “Saya berasal dari keluarga susah, hanya anak penoreh getah. Kehidupan kami tidak senang.

“Jadi sekarang apabila saya berjumpa dengan mereka yang susah, saya akan cuba bantu. Saya ingin habiskan hidup saya dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Panggilan Uncle Kentang datang dari sepeket kentang yang diberikan setiap kali memberikan sumbangan makanan. (Gambar Kuan Chee Heng)

Bercakap mengenai permulaan dia melakukan kerja-kerja sosial ini, Uncle Kentang berkata, dia bermula dengan memberi makanan kepada mereka yang susah tetapi kemudian dia menemui situasi yang lain pula iaitu mereka yang susah juga sukar untuk mendapatkan rawatan kerana tiada wang.

“Apabila mereka ingin ke hospital, mereka perlu menaiki bas dari satu tempat ke satu tempat. Ini sangat menyusahkan. Jadi, saya sediakan khidmat teksi dengan bayaran 10 sen untuk membawa mereka pergi ke hospital dan balik ke rumah,” katanya.

Bagi Uncle Kentang, dia akan cuba membantu semua yang memerlukan pertolongan dekat dan jauh. Bantuan dan sokongan yang diterima dari orang ramai dan rakan-rakannya juga banyak membantu dia merealisasikan impiannya untuk membantu orang ramai.

Pada awal tahun ini juga, dia telah membuka sebuah kedai dengan menjual barangan dengan harga 10 sen.

Kuan juga menyediakan khidmat van jenazah. (Gambar Kuan Chee Heng)

“Kami menggalakkan orang ramai berjumpa dan bertukar infomasi, bertukar idea dan kenal antara satu dengan lain. Ini memudahkan mereka sekiranya memerlukan bantuan,” katanya.

Kerana itulah dia menggalakkan komuniti untuk bersatu dan dapat menjaga satu sama lain. Baginya, setiap individu itu tidak harus dibiarkan menghadapi masalah sendirian.

Kuan juga mendapati program kebajikan dari kerajaan juga tidak mencukupi kerana ada orang miskin yang tidak mendapat bantuan. Malah, dia juga tahu ramai rakyat Malaysia yang begitu mengambil berat dan prihatin tetapi kekurangan organisasi untuk membantu.

“Ada juga yang saya tidak dapat bantu dan ini membuatkan saya sedih,” ujarnya.

Khidmat ambulan 10 sen antara inisiatif Uncle Kentang membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini turut menghadkan aktiviti kebajikannya. Malah, dia juga sedar betapa pandemik ini juga memberikan tekanan mental kepada ramai orang terutama yang susah dan lebih membimbangkan apabila ekonomi keluarga tergegas teruk.

Oleh itu, dia bersama pakar perubatan juga menyediakan kaunseling kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Bagi Kuan, apa yang diharapkan sekarang hanyalah “Malaysia yang lebih baik. Negara yang lebih bersatu dan penyayang”.

Bagi mereka yang ingin membantu, Kuan berkata, “Mulakan dengan senyuman kerana perkara kecil ini akan mendorong anda membuat perkara yang lebih besar dan hebat. Dengan hanya sebuah senyuman akan menyinari kehidupan orang lain,” akhirinya.

Jika anda ingin memberi sumbangan seperti barangan keperluan atau dana, anda boleh menghubungi Uncle Kentang dan pasukannya di “Kentang Fund” melalui talian: 018-2683999.-FMT

 

Pernah Tidak Mampu Urus Jenazah Bapa, Uncle Kentang Buka Mulut Sebab Mulakan Misi Van Jenazah

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker