China kesan Covid-19 pada bungkusan daging lembu Brazil

Bandar Wuhan di China pada Jumaat berkata, ia menemui Covid-19 pada bungkusan sekelompok daging lembu Brazil ketika ia meningkatkan ujian ke atas makanan beku minggu ini dalam sebahagian kempen d seluruh negara.

Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan dalam satu kenyataan di laman webnya berkata, ia menemui 3 sampel positif pada luar bungkusan daging lembu beku tanpa tulang dari Brazil.

Daging itu memasuki China melalui pelabuhan Qingdao pada 7 Ogos dan tiba di Wuhan 17 Ogos lalu, di mana ia kekal dalam kemudahan penyimpanan sejuk sehingga baru-baru ini.

Virus Covid-19 mula muncul di sebuah pasar di bandar Wuhan akhir tahun lalu, sebelum merebak ke seluruh dunia.

Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan berkata, kod pendaftaran pengeksport muatan daging itu ialah 2015, yang merujuk sebuah kilang milik Marfrig Global Foods SA, berdasarkan carian Reuters.

Marfrig tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Katanya, lebih 100 kakitangan di kemudahan Wuhan sudah disaring dan 200 sampel persekitaran diambil.

Selepas mengambil langkah drastik membendung penularan virus dalam kalangan penduduknya tahun ini, China memulakan ujian ke atas makanan import untuk virus itu akhir Jun lalu.

Menjelang September, 22 daripada hampir 3 juta sampel dikesan positif, tetapi pekerja pelabuhan baru-baru ini didapati dijangkiti virus itu dan ia meningkatkan ujian saringan serta penyahjangkitan ke atas makanan import minggu ini.

Pihak berkuasa China turut menemui Covid-19 pada bungkusan daging lembu Argentina minggu ini dan satu lagi sampel daging lembu import turut dikesan positif di Shandong, kata wilayah itu pada Jumaat.

China ialah pembeli daging lembu terbanyak di dunia, manakala Brazil dan Argentina ialah pembekal terbesar.
FMT

Covid-19, Brazil rekod kes kedua tertinggi di dunia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker