MEDAC kembangkan program Penjana Komuniti@SME Bank ke seluruh negara tahun hadapan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mengembangkan program Penjana Komuniti@SME Bank ke seluruh negara pada tahun hadapan dan meningkatkan jumlah peserta kepada 150 usahawan B40 daripada pelbagai latarbelakang.

Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan itu diambil berdasarkan kepada potensi projek perintis melibatkan 20 usahawan mikro B40 di PPR Taman Medan, Petaling Jaya dan PPR Jelatek, Kuala Lumpur.

Beliau menambah program Penjana Komuniti@SME Bank ini yang merupakan satu program tanggungjawab korporat dan inisiatif di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), bertujuan merangsang kegiatan ekonomi yang terjejas dalam kalangan usahawan mikro B40 akibat penularan COVID-19.

“Inisiatif ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan dalam memperkasa golongan B40 agar mereka dapat terus berdaya maju terutamanya sewaktu krisis COVID-19 ini melanda,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.



Wan Junaidi berkata para peserta sedang diberi latihan dan bimbingan bagaimana mengembangkan perniagaan sedia ada melalui platform atas talian dan menggunakan media sosial secara lebih tersusun dan efektif.

“Program ini juga merupakan salah satu daripada 27 program dan dasar baharu di bawah PEMACU yang diusahakan oleh MEDAC,” jelas beliau.

PEMACU merupakan satu inisiatif yang menghubungkan fungsi semua agensi di bawah MEDAC agar pemantauan dapat dilaksanakan dengan efisien dan kolaborasi kapasiti dan kompetensi dapat dimaksimumkan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, untuk memastikan objektif program ini dicapai, SME Bank telah melantik Centre for Entrepreneur Development & Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat SME Bank sebagai penyedia latihan dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Pengurus Projek.



Program latihan sesi pertama telah bermula pada 15 September sehingga 6 Oktober 2020 dan sesi latihan untuk kumpulan kedua akan diselesaikan sebelum akhir ini, kata beliau.

Aria menambah CEDAR juga akan memantau perkembangan dan kemajuan perniagaan para peserta latihan di sepanjang tempoh program berkenaan.

“Program latihan berbentuk ‘hands-on’ ini merangkumi pembelajaran mengenai ‘Facebook Ads’, ‘Instagram Advertising’ dan ‘Website & Google Ads’.

‘’Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi YEZZA bagi memudahkan mereka menguruskan perniagaan. YEZZA merupakan satu platform perniagaan dengan menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ untuk menjual produk atau servis yang dapat menguruskan perniagaan secara sistematik,” kata beliau.



SME Bank turut menyediakan satu latihan khusus untuk penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank iaitu SME Bank Business Strategic Series (SBSS) yang turut ditawarkan oleh CEDAR.

Program latihan tanpa bayaran ini adalah satu platform bagi usahawan yang beroperasi di kesemua 454 lot kilang di 26 Kompleks Premis Usahawan SME Bank untuk menambah pengetahuan dan kemahiran menjalankan perniagaan serta mengembangkannya ke peringkat yang lebih tinggi. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker