Lapangan terbang KXP Kulim : Bukan kelulusan akhir lagi, kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini menjelaskan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) hanya memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Wee berkata, kelulusan prinsip itu tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan dan beberapa agensi kerajaan lain
antranya Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Cadangan pembinaan KXP juga tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang akan dimulakan awal 2021 bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.

“Penggerak projek KXP kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran yang realistik dan tepat.



“Khususnya unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP, lebih-lebih lagi dalam era pasca Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negeri itu memerlukan pinjaman kerajaan persekutuan sebanyak RM1 bilion hingga RM2.5 bilion untuk memulakan rancangan lapangan terbang Kulim yang bernilai RM6.8 bilion.

Sanusi berkata, sekiranya gagal mendapat dana dari Putrajaya, Kedah akan mempertimbangkan beralih kepada sektor swasta bagi menyelesaikan projek itu.

Kenyataan Sanusi berhubung kelulusan itu dipersoal Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang menyatakan Putrajaya sebelum ini berkata tiada lapangan terbang baharu akan dibina sementara menunggu suatu kajian selesai menjelang 2023.



Lapangan terbang yang dicadangkan itu, dengan kod KXP, akan dibina di tapak seluas 1,700 hektar dekat Sungai Petani dan menyasarkan menampung 15 juta penumpang setiap tahun. Kerajaan negeri meramalkan penerbangan pertama bermula seawal 2024.

Wee berkata, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat ditetapkan agensi kerajaan yang lain.

“Ia seperti mana dinyatakan dalam laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri atau syarikat swasta untuk membina lapangan terbang.



“Tetapi, kementerian perlu memastikan setiap cadangan pembinaan lapangan terbang benar-benar bersesuaian, lestari dan memenuhi keperluan teknikal ditetapkan oleh CAAM dan MAVCOM,” katanya.

Lapangan terbang Kulim dicadangkan bekas menteri besar Mukhriz Mahathir, yang pada mulanya kos pembinaan itu dijangka RM6.8 bilion dan mengendalikan 15 juta penumpang setiap tahun. FMT

Kerajaan lulus pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker