Kerajaan lulus pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Share

Kerajaan Persekutuan sekali lagi meluluskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) selepas kajian mendapati Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka tidak mampu menampung pertambahan penumpang pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata LTAPP ketika ini hanya memiliki landasan tunggal yang mampu menampung kapasiti maksimum 12 juta penumpang setahun.

“Ketika ini LTAPP merekodkan tujuh juta penumpang setahun dan jumlah itu dijangka meningkat sebaik (krisis) penularan wabak COVID-19 tamat atau selepas 2022.

“Projek KXP yang diluluskan kerajaan dirancang mempunyai empat landasan menerusi projek jangka panjang sehingga tahun 2050.

“Mengikut perancangan, KXP akan mempunyai empat landasan. Pembinaan landasan pertama dan kedua akan dilakukan dalam fasa pertama dan kedua, manakala dua lagi landasan akan dibina menjelag 2050,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, semalam Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) meluluskan pembinaan KXP untuk kali pertama sejak rancangan itu dikemukakan pada 2014.

Projek pembinaan itu pernah diluluskan kerajaan pada Mac 2019 lalu namun Kementerian Pengangkutan pada Ogos lalu mengumumkan penangguhan semua projek naik taraf dan pembinaan lapangan terbang baharu termasuk KXP.

Arahan penangguhan itu disebabkan kerajaan berhasrat mahu membuat pertimbangan semula selepas kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan pada 2023.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi kemudian mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya, sebelum kedua-dua pihak setuju supaya kertas cadangan projek KXP dibentangkan semula pada mesyuarat MPFN.

Sementara itu, dalam sidang media hari ini, Muhammad Sanusi berkata, selepas ini, kerajaan negeri akan memulakan proses pengambilalihan tanah dan berusaha mendapatkan bantuan kewangan berjumlah RM2.5 bilion daripada kerajaan Pusat sebelum proses seterusnya dapat dilaksanakan.

Katanya, dengan kargo yang dikeluarkan dari Taman Perindustrian Tinggi Kulim dan taman semikonduktor baharu yang akan dibina berhampiran kawasan itu, KXP akan menjadi pencetus perubahan ekonomi kepada Kedah dengan Pulau Pinang, Perak dan Perlis turut mendapat manfaat.

Katanya, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah juga dijangka mampu meningkat sehingga 4.6 peratus selepas KXP dibangunkan.

Beliau berkata, selain pembinaan lapangan terbang dan landasan utama, komponen KXP turut membabitkan pembangunan Taman Aeropolis Sidam dan pembinaan lebuh raya baharu. Awani

Betulkah Lapangan Antarabangsa Kulim akan diibiayai swasta?

Leave a Reply