Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda

KUALA KANGSAR – Pelakon, Niezam Zaidi atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama dua lagi individu yang juga pengarah dan penolong pengarah didenda sehingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari selepas pertuduhan terhadap Muhamad Niezam, 30, Mohd Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, dibacakan secara berasingan di sini pada Isnin.

Mohd Shazmeer turut memerintahkan kesemua mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua hingga tiga tahun serta hukuman penjara sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Muhamad Niezam mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira jam 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pelakon filem Budak Pailang itu juga mengaku bersalah memasukkan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira- kira jam 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun pengawasan.

Dalam prosiding itu, Muhamad Niezam yang diwakili Peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan memandangkan pendapatannya telah terjejas akibat tiada tawaran sejak tangkapan terhadapnya dilakukan selain perlu menanggung ibu yang sakit.

Ketiga-tiga mereka dikenakan denda dan pengawasan AADK oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan, Oktober lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh merupakan individu yang dikenali ramai.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Muhamad Niezam membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dikenakan lima bulan penjara serta dua tahun pengawasan.

Sementara itu, Mohd Latiff yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.20 gram dadah jenis kanabis diperintahkan membayar denda RM1,800 dan jika gagal boleh dikenakan empat bulan penjara.

Bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan pula, bapa kepada enam anak itu dikenakan denda RM2,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal bayar serta tiga tahun pengawasan AADK.

Mahkamah sama turut memerintahkan Saiful Zaidrin membayar denda RM4,000, lima bulan penjara jika gagal bayar denda serta dua tahun pengawasan selepas mengaku memiliki dan memasukkan dadah dalam badan jenis methamphetamine di lokasi dan tarikh yang sama.

Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada jam 7.15 pagi.

Pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Dadah: Pelakon, pengarah dan penolong pengarah didenda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pelakon Indonesia, Cassandra Angelie kantoi melacur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker