Masjid ketiga terbesar dunia dibuka di Algeria

Share

ALGIERS – Masjid Besar Algeria di Algiers iaitu yang juga ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Afrika dibuka kepada umat Islam untuk bersolat semalam selepas pembinaannya siap.

Dikenali sebagai Djamaa ElDjazair, struktur moden bangunan tersebut seluas 27.75 hektar dan ia lebih kecil berbanding Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Bagi para pengkritik, masjid itu merupakan satu projek sia-sia dan simbol kepada khayalan bekas Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika yang terpaksa meletakkan jawatan pada April tahun lalu selepas tunjuk perasaan besar-besaran berhubung pemerintahan autokratnya selama dua dekad.

Presiden negara itu, Abdelmadjid Tebboune sepatutnya hadir bagi merasmikan dewan solat masjid berkenaan yang mampu memuatkan seramai 120,000 jemaah semalam menjelang keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Abdelmadjid Djerad dan pegawai kerajaan merasmikan dewan solat masjid tersebut bagi mewakili Tebboune.

Ia adalah disebabkan Presiden Algeria dimasukkan ke sebuah hospital disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Tebboune menjalani kuarantin kendiri seminggu sebelum laporan beliau disyaki dijangkiti Covid-19.


Inilah Masjid Besar Algeria dikenali sebagai Djamaa ElDjazair iaitu yang ketiga terbesar di dunia dan terletak di Algiers. – Foto AFP
Semalam, beliau dipindahkan ke sebuah hospital di Jerman bagi menjalani pemeriksaan perubatan dengan rapi berikutan cadangan daripada kakitangan perubatan.

Masih tidak jelas berapa ramai jemaah dibenarkan untuk bersolat di masjid tersebut ketika pandemik Covid-19 masih belum reda itu.

Ruang dalaman masjid itu adalah mengikut seni bina Andalusia dan dihiasi dengan kayu, marmar dan batu putih.

Ia diharapkan menjadi pusat penyelidikan dan kebudayaan teologi dan turut mengandungi sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan satu juta buku.

Masjid itu juga mengandungi menara setinggi 267 meter iaitu tertinggi di dunia dan dilengkapi dengan lif dan mengandungi platform menghadap pemandangan ibu kota Algeria dan Teluk Algiers.

Sebelum ini menara masjid yang tertinggi ialah di bandar raya Casablanca, Maghribi iaitu setinggi 210 meter.

Menurut Kementerian Kewangan, kos pembinaannya ialah lebih AS$1 bilion (RM4.16 bilion).

Kerja-kerja pembinaannya melibatkan masa selama tujuh tahun dan siap pada April 2019 tiga tahun di belakang jadual asal dan syarikat yang membinanya ialah Kejuruteraan Pembinaan Negara China (CSCEC) yang membawa masuk buruh dari negara tersebut.

“Terdapat sebuah masjid di hampir kawasan kejiranan,” kata seorang penduduk Algiers, Said Benmehdi. – AFP

 

Leave a Reply