Eksotika bronok Langkawi

Share

SEAWAL pukul 6 pagi, kedua-dua lelaki yang lengkap dengan peralatan khas seperti pukat itu dilihat sudah berada di jeti Pantai Pasir Berdengung, Langkawi, Kedah.

Seperti kelaziman, mereka berdua kemudian akan menaiki bot kecil untuk ke tengah laut bagi menangkap hasil laut.

Namun, apa yang berbeza, Shalini Hussin, 51, dan adik iparnya tidak menangkap ikan mahupun hasil laut lain yang popular dan biasa didengari.

Rutin harian mereka sejak hampir lima tahun lalu adalah mencari hidupan atau haiwan laut yang dikenali sebagai bronok atau ada yang memanggilnya sebagai kentang laut dan lintah gergasi.

Menurut Shalini atau lebih mesra dipanggil Pak Su dalam kalangan penduduk di pulau legenda itu, dia dan adik iparnya setiap hari akan turun ke laut bagi mendapatkan bronok sebelum dihantar ke pasar dan restoran berdekatan.

“Mungkin ramai yang tidak mengenali bronok terutama mereka yang bukan berasal dari Langkawi.

“Jika dilihat pada rupa fizikal dan saiz, bronok merupakan spesies hidupan laut yang seakan-akan sama dengan gamat atau timun laut.

“Ia cuma terdapat di kawasan pantai berselut di Langkawi. Teksturnya sama seperti sotong dan biasanya mempunyai beberapa warna seperti merah jambu dan coklat kehitaman,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

BRONOK mempunyai struktur seperti sotong.

Tambah Pak Su, bronok atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides mempunyai sifat unik yang alah kepada haba sekali gus akan lebur menjadi air masin jika dipanaskan.

Bapa kepada tiga cahaya mata dan anak jati Langkawi itu memberitahu, disebabkan itu, bronok paling sesuai dijadikan hidangan seperti kerabu yang merupakan sajian secara menggaul.

Ujarnya, kerabu bronok merupakan hidangan yang cukup menyelerakan dan menjadi sajian warisan wajib pada setiap majlis kenduri kendara atau keraian di kawasan sekitar.

Bercerita lanjut, Pak Su menjelaskan dia yang dibantu adik iparnya hanya akan turun ke laut apabila cuaca dan keadaan air laut pasang dan tidak berbahaya.

“Sebelum ini saya memang bekerja sebagai nelayan dan menjual hasil hidupan laut kepada peraih.

“Namun, sejak lima tahun lalu saya hanya fokus kepada mencari bronok sebagai mata pencarian utama kerana terdapat permintaan tetap daripada beberapa restoran dan peniaga di pasar,” katanya yang akan membawa pulang kira-kira 200 kilogram (kg) bronok setiap kali turun ke laut.

Segar

Jelas Pak Su, bronok boleh didapati pada bila-bila masa sepanjang tahun tanpa mengikut musim dan biasanya lelaki itu hanya perlu memperuntukkan masa tidak sampai satu jam bagi mendapatkannya.

Tambahnya, bronok boleh didapati menggunakan dua kaedah iaitu mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan cara menyeluk selut atau menaiki bot serta sampan hingga ke tengah laut menggunakan pukat panjang.

“Penggunaan pukat panjang yang boleh sampai ke dasar laut hingga kedalaman tujuh ke lapan meter sangat mudah dan menjimatkan masa.

“Dalam masa beberapa minit, kita boleh memperolehi banyak hasil tangkapan dan boleh terus dijual dalam keadaan masih segar,” ujarnya yang menyatakan hanya bronok muda sahaja dipilih, manakala yang tua akan dilepaskan kembali ke laut.

Sejurus pulang dari laut, isteri Pak Su, Mariadah Yadam, 51, akan membantu mengambil alih tugas bagi membersihkan bronok sebelum dijual.

KERABU bronok yang merupakan sajian warisan ini nampak begitu lazat dan menyelerakan.

Menurutnya, proses pembersihan bronok perlu dilakukan secara tertib dan benar-benar bersih serta sempurna agar tiada kotoran tertinggal.

“Pangkal kepala dan ekor bronok akan dipotong terlebih dahulu menggunakan pisau tajam untuk membuang isi perutnya sebelum dihiris nipis-nipis.

“Bronok yang telah dipotong mesti dibersihkan beberapa kali sebelum ditapis dan disimpan di dalam peti sejuk bagi mengekalkan kesegaran sebelum dijual atau dimasak,” katanya.

Bagi pembuat kerabu bronok, Faridah Hussin, untuk menyediakan sajian eksotik tersebut, beberapa bahan asas perlu disediakan terlebih dahulu.

Menurutnya, bahan-bahan yang digunakan sama sahaja seperti membuat kerabu lain.

“Biasanya kita memerlukan bawang, cili kering, kerisik, kelapa parut, beras yang disangai, lengkuas, mangga, belacan, daun gajus dan daun cemumar yang diracik halus sebagai bahan utama.

“Selepas itu, bahan-bahan tersebut digaul dengan bronok yang sudah dibersihkan hingga sebati dan sedia untuk dimakan,” katanya yang memberitahu penyediaan kerabu bronok boleh dipelbagaikan mengikut selera dan kreativiti masing-masing.

Diratah

Jelasnya, bronok juga boleh dimakan secara mentah tetapi sedikit masin berbanding dijadikan kerabu.

Bagi seorang penggemar tegar kerabu bronok, Ku Mastura Ku Abd. Aziz, 37, hidangan kerabu merupakan makanan yang cukup sinonim kepada masyarakat di Langkawi.

“Sejak kecil saya memang gemarkan kerabu bronok yang sering dibuat oleh ibu terutama untuk makan tengah hari atau malam. Kerabu bronok merupakan hidangan istimewa dan sungguh menyelerakan. Ia boleh dimakan bersama nasi putih atau diratah begitu sahaja,” katanya.

Ujarnya, sajian warisan dan identiti Langkawi itu juga amat terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk tetap, namun turut diminati pelancong luar.

Tambah guru dan ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, kerabu bronok kini mudah didapati di kebanyakan kedai makan atau restoran.

Ku Mastura mencadangkan agar para pelancong yang mengunjungi Langkawi tidak melepaskan peluang mencuba makanan unik tersebut.

Resepi Solok Lada Kelantan Tersedap Di Dunia. Enak Makan Dengan Nasi Kerabu

Leave a Reply