Persediaan PRU-15, SPR pamer permohonan pemilih baharu mulai esok

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan permohonan pendaftaran pemilih baharu dan permohonan pertukaran bahagian pilihan raya di 914 lokasi di seluruh negara, mulai esok hingga 10 November ini.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua permohonan berkenaan terkandung dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Ketiga Tahun 2020 (ST3/2020).

“RDPT ST3/2020 itu mengandungi 308,451 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 41,688 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, semakan RDPT ST3/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah iaitu hadir ke lokasi pameran dan mengimbas kod QR atau melayari portal rasmi pejabat Pilihan Raya Negeri atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan serta menyemak buku RDPT ST3/2020 yang disediakan.

Katanya, bagi pameran RDPT ST3/2020 itu, SPR tidak meletakkan salinan buku RDPT di lokasi pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR RDPT bagi bahagian pilihan raya Parlimen yang berkenaan sahaja.

4.2 j rakyat belum daftar sebagai pengundi, ayuh daftar cepat di SPR online

“Kaedah ini adalah untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2020 dan sekiranya pemohon mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di dalam RDPT ST3/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Beliau berkata, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat ketika hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

Katanya, semasa tempoh pameran RDPT ST3/2020 itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan, atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2020 boleh menghubungi talian utama SPR di 03-88927018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri dan pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan,” katanya. – Bernama

Pertikai Muhyiddin, tapi jangan sampai kuasa kembali jatuh ke tangan DAP

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker