Work From Home, ARAHAN bukan Lagi Permintaan [Video]

Share

 

Sidang khas Majlis Kerselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, hari ini memutuskan bahawa semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta di bahagian pengurusan dan pengawasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak lagi dibenarkan ke pejabat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakub berkata, mereka walau bagaimanapun boleh bekerja dari rumah berkuat kuasa Khamis, 22 Oktober ini.

“Ini merupakan arahan dan bukan lagi permintaan. Majikan diarah mengeluarkan surat pelepasan bagi pekerja-pekerja ini untuk bekerja dari rumah,” kata pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri berkata usaha itu bagi membendung penularan wabak Covid-19, dengan mengurangkan jumlah orang ramai khususnya di kawasan PKPB.

 

“Sidang khas MKN yang dipengerusikan oleh perdana menteri hari ini medengar pembentangan KKM berkenaan situasi semasa Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

“Melihat kepada trend peningkatan kes positif Covid-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini.

“KKM juga sebelum ini telah mengumumkan terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini.

“Justeru, atas nasihat KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju agar pekerja-pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabatdan hanya bekerja dari rumah,” katanya.

Ismail Sabri berkata tindakan itu akan mengurangkan 1 juta pekerja dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah – 800 ribu di sektor industri, dan 200 ribu di sektor awam – daripada hadir ke pejabat atau kilang masing-masing.

“Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,” katanya.

Dia juga berkata, pekerja di zon merah yang perlu bekerja di pejabat, perlu menjalani ujian calitan (swab) dan jika majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kos ujian akan ditanggung Perkeso.

“Antara bahagian yang perlu bekerja di pejabat termasuk bahagian kewangan dan yang perlu membuat bayaran, begitu juga mereka yang bekerja di bahagian penguatkuasaan dan kebajikan, mereka juga perlu terus bekerja, mereka perlu buat ujian,” katanya.

Menurutnya, arahan yang akan berkuatkuasa Khamis ini sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan mewajibkan semula pekerja warga asing sektor pembinaan dan pengawal keselamatan membuat ujian sebagai kawalan pencegahan penularan kes di tempat kerja.

“Ketetapan ini diteruskan kepada pekerja warga asing di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan.

“Bagi pekerja warga asing yang majikan mereka mencarum dengan Perkeso, ujian swab adalah disediakan secara percuma,” katanya.

Kluster Utama melibatkan sebuah pusat beli-belah di Petaling, Selangor dan setakat semalam telah merekodkan 185 kes.

 

Melalui siasatan KKM, kluster tersebut berpunca daripada seorang pengawal keselamatan warganegara Nepal pusat beli-belah tersebut.

pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung.

Leave a Reply