Rasa tak puas hati dalam Umno Perak ancam kerajaan negeri ‘rapuh’

Share

Kerajaan Perak berisiko tumbang selepas hampir 7 bulan akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno negeri terhadap rakan gabungan mereka PPBM, kata seorang pemimpin parti itu.

Pemimpin yang tidak mahu dinamakan itu memberitahu FMT, ada kebenaran untuk melaporkan “semua dalam keadaan tidak baik” antara 2 parti Melayu di negeri itu, yang bekerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional.

Merujuk laporan Malaysiakini yang memetik pemimpin Pakatan Harapan (PH), pemimpin itu berkata, hubungan antara Umno dan PPBM tegang berhubung beberapa isu.

Menurut laporan itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Arafat juga mendakwa sekurang-kurangnya 6 Adun Umno sedia bekerjasama dengan PH.

“Saya takkan kata pemimpin Umno sedia bekerjasama dengan PH – pemimpin Umno takkan bekerjasama dengan DAP – tetapi ini tak bermaksud kita akan terus sokong Peja,” katanya merujuk nama panggilan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Sumber itu berkata, pemimpin Umno Perak “kesal” dengan cara Faizal memerintah negeri itu dan cubaan PPBM menguasai politik, walaupun Umno mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Undangan Negeri.

“Dan sekarang beliau melantik Aznel Ibrahim (Adun Pengkalan Hulu dari Umno) sebagai setiausaha politik. Kita terkejut sebab tak dibawa berunding.

“Jadi, disebabkan kita tidak akan bekerjasama dengan PH, jika ada usul tidak percaya terhadap Peja di DUN, beliau mungkin tak dapat sokongan semua Adun Umno.”

Pentadbiran negeri Perak, yang terdiri daripada Barisan Nasional, PPBM dan PAS dibentuk Mac lalu berikutan pertukaran kerajaan di Putrajaya.

Gabungan itu, bersama sokongan seorang Adun Gerakan dan Adun bebas menguasai 35 daripada 59 kerusi di DUN, dengan bakinya dipegang PH.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Faizal satu-satunya calon PPBM yang memenangi satu kerusi, sementara Umno memenangi 27 kerusi.

PPBM kemudiannya menambah jumlah kerusinya menjadi 5, selepas menerima 2 Adun Umno yang dipecat parti mereka, serta wakil rakyat dari PKR dan Amanah.

Nazri Aziz kata Umno takkan kerjasama dengan DAP

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Nazri Aziz turut mengakui terdapat rasa tidak senang terhadap PPBM di negeri itu, khasnya berhubung pelantikan ketua kampung.

Beliau berkata, pada asalnya, parti yang memenangi sebuah DUN akan melantik ketua kampung, tetapi peranan itu diambil alih sebuah jawatankuasa 3 ahli yang terdiri daripada wakil Umno, PAS dan PPBM.

“PPBM tidak ada cawangan, mereka tidak mempunyai (ramai) ahli, tetapi di setiap kampung ada wakil dari setiap parti.

“Ini di peringkat akar umbi, sebab itulah Umno tak senang. Mereka (PPBM) hanya memenangi satu kerusi pada PRU14. Umno patut buat keputusan (pelantikan) ketua kampung. Kami sangat marah.”

Nazri berkata, dengan adanya 3 pemimpin untuk setiap kampung tidak produktif untuk perpaduan orang Melayu dan lebih baik mengadakan pilihan raya di peringkat kampung supaya penduduk boleh memilih ketua yang mereka mahu.

Berhubung masa depan bersama PPBM, katanya, beliau serahkannya kepada Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad.

“Apa yang pasti ialah kita tidak akan membentuk kerajaan dengan DAP. Kita satu-satunya parti Melayu yang tidak bekerjasama dengan DAP. FMT

‘No’ Dap..‘No’ Anwar, Sokongan UMNO Secara En-Bloc

Leave a Reply