Anwar adakan sidang media khas jam 2 petang

Share

Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengadakan satu sidang media khas pada jam 2 petang di sebuah hotel di ibu negara susulan pasca sesi beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi.

“Satu pengumuman penting pasca sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diadakan hari ini.

“Rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi sidang media penting ini, serta diingatkan agar sentiasa mematuhi segala SOP berkaitan Covid-19,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan.

Terdahulu ahli parlimen Port Dickson itu memasuki pekarangan Istana Negara 10.25 pagi. Dia kemudian meninggalkan kawasan Istana Negara kira-kira jam 11.30 pagi dan sempat melambai ke arah media yang menunggu di pintu masuk.

Sejak bulan lalu, Anwar memohon untuk menghadap Agong selepas mendakwa mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Pemimpin pembangkang itu tidak memperincikan bilangan tepat jumlah sokongan dimilikinya atau identiti ahli parlimen yang menyokongnya, tetapi satu laman web tidak lama kemudian menyiarkan senarai 121 ahli parlimen dari semua parti yang dikatakan menyokongnya.

Semakan Malaysiakini mendapati senarai itu sudah tidak dapat diakses lagi dan pelbagai ahli parlimen yang dinamakan dalam senarai itu dilaporkan menjauhkan diri mereka daripada dakwaan berkenaan, atau secara terbuka menafikannya.

Setelah nama mereka timbul dalam senarai itu, beberapa wakil rakyat Umno – termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Idris Jusoh (Besut) telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan mereka dalam cubaan Anwar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, semalam mengesahkan yang polis menerima enam laporan berhubung perkara itu dan Anwar telah dipanggil untuk disoal siasat.

Bagaimanapun ia ditangguhkan ke satu tarikh lain yang tidak didedahkan, kerana Anwar dilaporkan hanya ada kelapangan jam 9 pagi hari ini. Mk

Muhyiddin Serang Kembali, Giliran Ahli Parlimen DAP Keluar Parti?

Leave a Reply