Jika Muhyiddin dijatuhkan hari ini, ada pihak lain jatuhkan Anwar esok

Episod menukar kerajaan sedia ada dengan dakwaan mempunyai cukup majoriti kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu bukan langkah baik kepada negara, apatah lagi ketika semua pihak sedang bergelut memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A’zlan Abu Bakar merasakan keadaan politik hari ini dilihat hanya mementingkan kelangsungan ahli politik tertentu dan jika tidak dibendung, cubaan menggulingkan kerajaan akan berterusan tanpa kesudahan hingga memangsakan rakyat.

“Kami harap ahli-ahli Parlimen tidak meneruskan pembentukan kerajaan yang sentiasa berubah-ubah sejak kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu yang dilihat tidak akan berkesudahan.

“Seandainya perkara ini berlaku, ahli-ahli Parlimen akan terus menyusun gerakan mengumpul majoriti sokongan membentuk kerajaan lain pada masa akan datang.

“Akhirnya memberi kesan kepada rakyat hingga menjejaskan kesihatan, peluang pekerjaan, pendidikan, aktiviti dan pertumbuhan ekonomi akibat ketidakstabilan politik ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober.

Ia bagi membolehkan Anwar mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurutnya, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, YDPA mempunyai kuasa mutlak memanggil Parlimen untuk bersidang mahupun membubarkan Dewan Rakyat.

“Pembentukan kerajaan baharu telahpun berlaku pada Mac 2020 apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik oleh YDPA sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Mana kewarasan ahli Parlimen hari ini yang berpakat untuk menukar kerajaan semudah ABC.

“Di mana kebijaksanaan mereka ini? Mengapa ahli Parlimen ini mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada?” katanya.

Katanya lagi, jika episod menjatuhkan Perdana Menteri ini berterusan, tidak mustahil akan ada pembentukan majoriti untuk menjatuhkan Anwar selepas ini.

“Hari ni Anwar bentuk majoriti untuk jatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, esok mungkin boleh jadi akan ada pembentukan majoriti untuk menjatuhkan Anwar pula

“Ia akan terus berulang sehinggalah ramai rakyat akan mati akibat negara yang dilihat tiada penyelesaian,” katanya.

Dalam masa sama, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk hari ini di atas kesepakatan antara parti-parti diharapkan untuk meneruskan permuafakatan.

“Rakyat tahu inilah kerajaan Melayu dan Islam yang dibentuk. Seandainya kerajaan ini dikhianati oleh antara parti yang bermuafakat ini, terbukti matlamat mereka membentuk kerajaan Melayu Islam bukanlah seperti yang dikatakan.

“Tetapi bukti kerakusan kuasa yang mereka ingin perdagangkan untuk kepentingan peribadi.

“Ayuhlah, kita membawa semangat bersama meletakkan keutamaan membina Malaysia demi kesejahteraan rakyat di dalam saat getir menghadapi cabaran penularan Covid-19 ini,” katanya lagi. MG

Cubaan Anwar jatuhkan PN masih teka teki

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker