Korea Utara cuba sembunyikan hukuman mati awam

PYONGYANG – Sebuah kumpulan hak asasi manusia berkata bahawa pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un cuba menyembunyikan hukuman mati awam daripada perhatian antarabangsa, sambil membanteras penyeludupan masuk bahan media dari Korea Selatan secara kejam, lapor agensi berita United Press International semalam.

Laporan oleh Kumpulan Kerja Peralihan Keadilan berpangkalan di Seoul itu adalah berdasarkan temu bual bersama hampir 700 rakyat Korea Utara yang membelot di samping  analisis imej satelit untuk melihat bagaimana hukuman mati yang dilaksanakan di tempat awam berubah  sejak Jong-un mengambil alih teraju pemerintahan 10 tahun lalu.

“Penemuan kami menunjukkan bahawa rejim Jong-un kini memberi lebih perhatian kepada isu hak asasi manusia sebagai tindak balas kepada pemantauan antarabangsa terhadap Korea Utara,” kata pengarang utama laporan itu, Ahyeong Park.

Laporan itu menyatakan bahawa lokasi pelaksanaan hukuman mati seperti di pasar awam dan kawasan berhampiran sempadan China telah dialihkan, manakala orang ramai dikawal ketat untuk mengelakkan insiden kebocoran rakaman video hukuman tersebut seperti yang berlaku pada 2005.

Kajian sama mendapati kekerapan pelaksanaan hukuman mati di tempat awam pada skala besar juga telah menurun.

“Namun, itu tidak bermakna keadaan hak asasi manusia di Korea Utara bertambah baik.

“Pembunuhan rakyat negara itu berlaku dalam cara yang mungkin tidak dilihat oleh orang ramai, sama seperti yang dilakukan sebelum ini,” kata Park.

Menurutnya, pembunuhan secara rahsia  semakin meningkat.  Korea Utara katanya, masih menggunakan hukuman mati di tempat awam untuk menghantar mesej kepada rakyat supaya tidak menentang pemerintah, malah  sering memaksa ahli keluarga  pesalah hadir menyaksikannya.

Laporan pemetaan pembunuhan di Bawah Jong-un itu mendokumentasi 23 hukuman mati awam dan mendapati jenayah yang paling kerap disebut ialah menonton atau mengedarkan bahan video dari Korea Selatan.

Pengarah eksekutif Kumpulan Kerja Keadilan Peralihan, Hubert Younghwan Lee berkata, sebelum ini, jenayah ekonomi kecil seperti mencuri tembaga adalah sebab biasa yang menyebabkan pelaksanaan hukuman mati.

“Namun, kebimbangan utama Jong-un kini adalah media luar seperti drama dan filem dari Korea Selatan. Ia menunjukkan apa yang paling ditakuti oleh Kim Jong-un adalah kemasukan maklumat luar,” kata Lee. – Agensi

Korea Utara cuba sembunyikan hukuman mati awam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kejayaan pindaan MA63 kesinambungan komitmen Najib, BN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker