Cubaan Anwar jatuhkan PN masih teka teki

Share

DAKWAAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu ternyata mencetuskan pelbagai persoalan.

Malahan tidak ramai yang percaya apabila beliau mendakwa ‘majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis’.

Anwar dengan penuh yakin mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang, namun apa yang menjadi tanda-tanyanya ialah beliau tidak memberithu jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Demikian pandangan yang diberikan dalam lidah pengarang Sin Chew Daily ketika memberikan komentar mengenai pengumuman Anwar yang dibuat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Akhbar itu percaya ramai orang masih bersikap kurang yakin apa yang didakwa oleh Anwar disebabkan beliau sudah beberapa kali bercakap mengenai isu pengalihan kuasa itu namun semuanya tidak menjadi kenyataan.

Sin Chew Daily menulis, kenyataan Anwar boleh dipertikaikan kerana jumlah majoriti yang diperoleh adalah hampir dua pertiga malahan ahli-ahli Parlimen itu adalah datang daripada kalangan Melayu dan Muslim, namun tidak termasuk parti Pejuang yang dipimpin dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ahli Parlimen daripada PKR.

“Kebanyakan ahli Parlimen Melayu dan Muslim adalah menganggotai parti-parti seperti UMNO, Pas, Bersatu dan Gabungan Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

“Jadi apakah ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti itu sudah tidak lagi menyokong Muhyiddin? Apakah UMNO, Pas dan PBB mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP?” soal akhbar itu.

Akhbar itu turut mempersoalkan kenapa Anwar tidak menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum mengadakan sidang akhbar? Tindakannya itu seolah-olah tidak menghormati Al-Sultan Abdullah.

“Dalam sidang akhbar itu, Anwar dengan yakin mendakwa kerajaan PN telah tumbang. Nasibnya mungkin akan sama seperti tindakan yang dilakukan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang berakhir dengan kegagalan apabila Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.

“Sekiranya Muhyiddin membubarkan Parlimen, Anwar dan Pakatan Harapan belum tentu akan memperoleh kemenangan merampas tampuk pemerintahan kerana PN kini memperoleh sokongan padu daripada kalangan pengundi Melayu,” ulas akhbar itu.

Mengikut analisis yang dibuat akhbar itu, sebenarnya rancangan Anwar untuk menggulingkan kerajaan PN tidaklah begitu meyakinkan sebaliknya ia hanyalah satu strategi politik mempergunakan UMNO untuk memecahbelahkan PN sekali gus menguntungkan Pakatan Harapan.

“Anwar sebenarnya melakukan kesilapan dengan membuat pengumuman sebegitu. Sekiranya terbukti ia hanya muslihat, ia bukan sahaja menjejaskan imej dirinya sendiri bahkan tahap keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan turut terjejas,” tulis akhbar itu.

Leave a Reply