Siapa Perdana Menteri Malaysia minggu hadapan?

Share

 

 

Siapa Perdana Menteri Malaysia minggu hadapan? Rakyat harus bersedia menghadapi ombak politik yang seolah-olah tiada penghujung, sekiranya dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai jumlah majoriti sokongan Ahli Parlimen terhadapnya adalah benar.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan.

Katanya, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang dinyatakan sebelum ini, pada majlis menghadap itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika dakwaan Anwar itu berlaku, Malaysia berkemungkinan berdepan sekali lagi pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya umum diadakan.

“Apa pun yang berlaku, inilah realiti sistem demokrasi kita yang membenarkan bukan sahaja ahli politik lompat-melompat, tetapi bertukar-tukar kerajaan dengan begitu mudah tanpa pilihan raya.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kita harus menerima hakikat ini walaupun pahit dan memuakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agong perkenan Anwar mengadap Selasa depan

Aminuddin berkata, sebagai rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran sepanjang pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi, pertukaran kerajaan adalah perkara terakhir yang dimahukan.

“Ini kerana ianya akan memakan banyak masa dan tenaga khususnya para pemimpin negara yang bakal disibukkan dengan politik sehingga tidak sempat menguruskan hal dan nasib rakyat dengan baik.

“Apa pun kita serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang selama ini telah terbukti memainkan peranan yang begitu baik khususnya dalam menyelesaikan kemelut politik negara sebegini menggunakan kuasa yang diperuntukkan.

“Sama ada Perdana Menteri baharu akan dilantik atau Parlimen akan dibubarkan, walahua’alam,” katanya.

Beliau berkata, gelombang kedua COVID-19 yang dilihat lebih dasyat kali ini pasti menjadi pertimbangan utama dalam menyelesaikan kemelut politik negara.

“Bagi Ahli-Ahli Parlimen yang sentiasa bertukar arah dan melompat, saya harap agar mereka tidak dicalonkan lagi oleh parti masing-masing dan rakyat tidak memilih mereka jika tercalon sekali pun dalam pilihan raya akan datang.

“Kita perlukan pemain-pemain baharu dalam politik negara dengan harapan dapat membuka dimensi baharu politik Malaysia yang tidak lagi dimonopoli dan dikawal oleh mana-mana individu, parti politik atau taikun luar,” katanya.

Sokongan MP Umno kepada Anwar sudah bertambah

Leave a Reply