Sakit kepala, jangan ambil mudah

Amirah Ahmad, 25, mudah pening jika terdedah kepada cuaca panas.

Kesakitan dialami ada kalanya mengganggu rutin hariannya termasuk tidak dapat meneruskan tugas sebagai kakitangan awam.

Ini menyebabkan dia terpaksa mengambil paracetamol untuk meredakan kesakitan setiap kali diserang penyakit berkenaan.

Masalah pening yang dialami Amirah disebabkan faktor persekitaran iaitu perubahan cuaca.

Pakar Perunding Neurosurgeri MSU Medical Centre, Prof Dr Badrisyah Idris berkata, pening ialah tindak balas di kepala sama ada disebabkan faktor luaran, dalaman, persekitaran atau makanan.

Menurutnya, ia gejala biasa yang boleh dialami sesiapa saja selain daripada sakit perut, batuk dan bersin.

“Ada yang mengalami pening setiap bulan, minggu dan setiap hari.

“Sejak 20 tahun lalu, pening menjadi penyebab kedua individu hilang keupayaan dalam kehidupan, manakala kemurungan di tempat ketiga,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, sakit belakang juga boleh menyebabkan individu

hilang keupayaan dan produktiviti diri.


“Pesakit tidak boleh memandang mudah pening yang dialami mereka dan perlu mengetahui corak pening berkenaan.

“Ini kerana mereka perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan untuk rawatan selanjutnya, jika pening dialaminya menjadi lebih teruk,” katanya.

Dr Badrisyah berkata, pening dikategorikan kepada empat tahap iaitu sangat teruk, teruk, sederhana dan ringan.

“Penilaian tahap kesakitan ini penting untuk mengetahui pening dialami pesakit itu semakin teruk atau berkurangan.

“Pening biasa boleh bertukar menjadi luar biasa apabila kesakitan mencapai tahap sangat teruk,” katanya.

Dr Badrisyah berkata, pening luar biasa ini lazimnya mempunyai kaitan dengan penyakit serius seperti barah otak.

“Kesannya, ia boleh menjejaskan fungsi otak seperti pertuturan, penglihatan, pendengaran, deria rasa pada tubuh dan perubahan tingkah laku serta sawan.

“Oleh itu, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan segera bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pening terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan skunder.

“Pening primer ialah gangguan yang tidak membabitkan sebarang penyakit dalam badan yang menyebabkan masalah atau kerosakan pada otak.

“Kebiasaannya, ia disebabkan gangguan pada struktur yang sensitif (otak) yang membabitkan otot leher, kepala, tindak balas kimia otak, pembuluh darah atau saraf,” katanya.

Menurut Dr Badrisyah, pening primer yang biasa terjadi ialah migrain.

Migrain menyerang sebelah kepala dan corak kesakitan ialah berdenyut.

“Lazimnya, kesakitan ini disertai rasa mual dan muntah yang menyebabkan pesakit tidak dapat melakukan aktiviti harian.

“Gejala ini sangat penting untuk membezakan sakit kepala disebabkan migrain, tekanan atau ketegangan.

“Ada kalanya, penghidap migrain menjadi terlalu sensitif kepada cahaya terang dan bunyi kuat,” katanya.

Menurutnya, individu yang sudah merasai gejala awal migrain dinasihati segera mengambil ubat penahan sakit bagi mengelak kesakitan bertambah teruk.

“Jika mengambil ubat penahan sakit semasa migrain teruk, ia tidak berkesan mengurangkan kesakitan berkenaan.

“Ada kalanya, pesakit terpaksa berjumpa doktor untuk mendapatkan suntikan menahan sakit,” katanya.


Dr Badrisyah berkata, jenis pening primer kedua ialah sakit kepala tegang atau menekan disebabkan tekanan.

“Kesakitan ini kerap berlaku berbanding migrain dan pesakit berasakan seperti ada objek yang melilit di sekeliling kepala.

“Tahap kesakitan pula lebih rendah berbanding kesakitan migrain. Selalunya, kesakitan akan hilang sebaik pesakit mengambil ubat penahan sakit dan berehat selama dua jam,” katanya.

Pening kepala primer ketiga pula ialah sakit kepala kelompok (kluster).

Ia jarang berlaku, tetapi yang paling teruk menyebabkan penghidapnya tidak mampu menahan kesakitan itu.

“Selalunya kesakitan ini menyerang sebelah kepala dan bahagian sekitar mata yang berlaku dalam tempoh di antara 15 minit hingga empat jam,” katanya.


Menurut Dr Badrisyah, jenis pening seterusnya ialah skunder yang selalunya mempunyai kaitan dengan penyakit lain yang serius seperti pendarahan dalam kepala, meningitis atau radang selaput otak dan ketumbuhan otak.

“Pendarahan dalam kepala terjadi apabila saluran darah otak tersumbat atau pecah disebabkan oleh angin ahmar.

“Pembuluh darah yang pecah akan menyebabkan pesakit berasakan kesakitan kepala yang kuat dan paling teruk dalam hidupnya,” katanya.

Dr Badrisyah berkata, seterusnya ialah meningitis atau radang selaput otak disebabkan oleh kuman seperti bakteria, virus dan tuberculous.

“Pesakit bukan saja akan mengalami demam dan tidak bermaya, tetapi timbul ruam merah yang merebak cepat ke seluruh badan,” katanya.

Menurut Dr Badrisyah, terakhir ialah ketumbuhan otak yang akan menjejaskan fungsi organ ini.

“Pesakit bukan setakat pening, tetapi juga mengalami gangguan pertuturan, penglihatan, kebas kaki dan tangan serta ketidakseimbangan berjalan,” katanya.

Anda rasa rakyat ada masa untuk pening kepala -Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker