Mahathir tak pernah ikhlas walaupun Anwar sentiasa positif dengannya

Share

Kalaupun tidak ikhlas dalam persahabatan, kata senator Yusmadi Yusoff, sekurang-kurangnya Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi negarawan yang membahagiakan negara.

Menjelaskan harapan itu, anggota Dewan Negara dari PKR itu berkata, Mahathir boleh belajar daripada bekas presiden Indonesia, BJ Habibie, yang dihormati semua pihak.

Bercakap kepada Malaysiakini Yusmadi berkata memang terbukti kini Mahathir tidak ikhlas semasa bersama-sama Presiden PKR, Anwar Ibrahim, semasa mereka berusaha mengalahkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) lebih dua tahun lalu.

“Tun (Mahathir) sudah terbukti tidak ikhlas dalam kerjasama (dengan Anwar) jadi saya cadangkan dia tidak perlu lagi terlibat dalam politik kepartian sebaliknya mengulas isu seperti kemanusiaan dan kenegaraan,” katanya.

Hubungan Mahathir dan Anwar mengalami proses naik turun sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Pernah begitu akrab dan dilihat bakal menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, hubungan mereka berantakan pada 1998 apabila Anwar dipecat dari parti dan kerajaan.

Dua puluh tahun kemudian Anwar dan Mahathir ‘berdamai’ semula dalam usaha parti-parti pembangkang menjatuhkan Najib Razak serta BN. Pakatan itu berjaya dan buat pertama kali kerajaan Malaysia bukan lagi dikuasai Umno dan parti sekutu mereka.

No way ! Wakil Pas tidak akan dilantik dalam kerajaan Sabah – Jeffrey Kitingan

Konsisten positif pada Mahathir

Pun begitu hayat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berpanjangan apabila Bersatu bersama segelintir pemimpin PKR berpaling tadah untuk menubuhkan kerajaan baru pada akhir Feb lalu.

Ia mendapat kritikan ramai dan digelar sebagai kerajaan pintu belakang kerana dianggotai parti yang kalah dalam PRU ke-14. Malah Presiden Bersatu sendiri mengakui kerajaan yang dibina itu tidak mendapat mandat daripada rakyat.

Kejatuhan PH dan perpecahan Bersatu menyaksikan Mahathir membawa haluan sendiri dan terpisah daripada pakatan berkenaan.

Hari ini Mahathir dipetik Malaysia Gazette sebagai berkata, Anwar tidak memberikan sokongan kepadanya walaupun dia mengaturkan pembebasan pemimpin PKR itu dari penjara dan mendapatkan pengampunan diraja.

“Selepas saya mengaturkan pembebasan beliau dan pengampunan diraja, dia (Anwar) tidak nak sokong saya.

“Dia pusing jumpa semua orang. Jumpa raja-raja, jumpa orang asing, bukan sokong saya. Dia kritikal terhadap saya,” kata Mahathir.

Yusmadi berkata sepanjang mengenali Anwar, dia tidak pernah melihat ahli parlimen Port Dickson itu mengeluarkan kata-kata yang memburukkan Mahathir.

“Jika ditanya hubungannya bersama Tun, Anwar secara konsisten beri pandangan positif dan berkata ia dibuat demi kepentingan negara.

“Maksud saya, Anwar berjiwa besar dan sentiasa memberikan pandangan lebih positif terhadap kerjasama tersebut berbanding Tun yang memfitnah Anwar dengan berkata tidak memberikan kerjasama,” katanya.

Justeru, kata Yusmadi, dalam keadaan sekarang Mahathir wajar belajar untuk menjadi negarawan seperti Habibie.

“Jadilah seorang negarawan seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin jiran seperti BJ Habibie yang sentiasa membahagiakan watan dan dikenang zaman,” katanya.

VK Liew Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

Leave a Reply