Covid-19 : Salah siapa gelombang kedua?

Oleh Ab Jalil Backer

Tidak Tepat Menyalahkan Politik dan PRN Sebagai Punca Gelombang baharu Covid-19

1. Pendapat bahawa ahli politik bersalah kerana mengadakan Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga mewujudkan gelombang Covid-19 baharu berasal dari Tawau, Sabah adalah tidak begitu tepat.

2. Kita telah tahu Covid-19 ini akan wujud dalam masyarakat buat beberapa tahun mendatang. Justeru mahu tidak mahu kehidupan ekonomi, politik dan sosialisi rakyat tidak harus bertangguh tanpa kepastian.



3. Gelombang Covid-19 Sabah ini berlaku bukan kerana adanya PRN Sabah tetapi kerana kegagalan kerajaan menguruskan situasi dalam norma baharu.

4. Apabila wujud peningkatan kes Covid-19 sebelum penamaan calon lagi telah timbul cadangan-cadangan supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan di ketiga-tiga daerah ini.

5. PRN tidak seharusnya menjadi halangan melaksanakan PKP Daerah terbabit. Ini kerana proses penamaan calon, kempen dan pengundian masih boleh dilaksanakan dengan mengikut norma baharu.

6. Malangnya, kerajaan mengambil sikap mudah dengan membenarkan orang ramai keluar masuk daerah-daerah ini.



7. Tanpa PRN pun, jika tiada PKP di kawasan ini maka jangkitan ini akan merebak juga kerana berlaku perjalanan antara daerah dan negeri tanpa kawalan.

8. JUSTERU tiada sebab untuk menunding jari kepada PRN sedangkan pihak berkuasa sendiri gagal mengambil langkah pencegahan awal.

9. Ada satu isu yang lebih penting iaitu kehadiran Covid-19 di Pantai Timur Sabah disebabkan pintu sempadan yang mudah dicerobohi pendatang asing.

10. Di mana janji kerajaan untuk mengetatkan kawalan sempadan bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin ini. Jika kerajaan tidak bersungguh dalam hal ini, sukar untuk kita mengekang pandemik ini dari terus merebak.



11. Gelombang Covid-19 ini bukan kerana rakyat, bukan kerana PRN Sabah tetapi lebih kepada kegagalan kerajaan mengambil tindakan pencegahan lebih awal di kawasan yang tampak berisiko tinggi.

12. Tidak ada suara menegur pemimpin tertinggi kerajaan keluar masuk kawasan Tawau, Lahad Datu dan Semporna sesuka hati.

13. Realitinya kita perlu belajar hidup bersama Covid-19. Kita perlu belajar mengadakan Pilihan Raya dalam keadaan Covid-19 kerana virus ini tidak akan hilang dalam masa yang singkat.

14. Hidup mesti diteruskan. Pemilihan kepimpinan negeri dan negara harus diteruskan. Yang penting bagaimana kita menguruskan pandemik ini apabila berlaku peningkatan ketara di kawasan-kawasan tertentu,



15. Apa yang tampak sekarang bukan rakyat, tetapi kerajaan yang alpa.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker