Politik muafakat vs politik perpecahan

Share

 

PILIHAN Raya Negeri Sabah baru sahaja selesai. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Bagaimanapun, PRN kali ini sangat mencabar. Latar perjuangannya dipenuhi pelbagai pengalaman baharu yang cukup sukar untuk diungkapkan dan dibayangkan lantaran inilah kali pertama satu gabungan politik besar bergerak bersama, merencana dan menyelaras gerak kerja bersama dalam suasana yang sangat mencabar.

Benar, kita boleh bergerak dari premis baharu yang mana tiada lagi pihak yang dominan, kuat dan besar. Kita bersedia menerima hakikat ini seadanya. Semuanya perlu menerima normal baharu politik secara permuafakatan.

Politik muafakat adalah berasaskan kerjasama. Kerjasama ini pula perlu memenuhi ciri-ciri asas seperti tolak ansur, hormat-menghormati, saling mempercayai, jujur, ikhlas dan menampung kekurangan orang lain dengan kekuatan yang kita ada dan begitulah sebaliknya.

Akan tetapi, mengungkapkan semua ciri dan prinsip di atas bagaikan satu teori semata-mata. Kerana melaksanakannya memerlukan iltizam dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua pihak.

Apabila semua ciri tersebut tidak dapat dilunaskan, maka yang ada hanyalah perasaan tidak menghormati orang lain, rasa angkuh dan ego dengan kuasa yang ada, menanam ranjau di belakang biarpun senyum dan berjanji bila berdepan, tiada kejujuran, merasakan diri kita hebat dan lebih bergaya daripada orang lain dan segalanya.

Apabila kesemua prasyarat asas bagi bekerjasama tidak dapat dilunaskan maka peluang yang terhidang adalah untuk mengena dan memijak orang lain semahunya.

Seterusnya melemah dan mendongak angkuh ke langit menggenggam tangan dan bersumpah mahu membina kekuatan baharu di atas tapak rumah, jasa dan legasi orang lain.

Rumah, jasa dan legasi yang dahulunya mendidik, membina dan menaikkan pesona sehingga dikenali dan dihormati. Kini rumah, jasa, legasi yang ditinggalkan itu mahu dilupakan jauh sekali untuk menghargai dan berterima kasih malah merencana pula untuk ‘dimusnahkan’ secara kreatif.

Wan Fahysal jangan angkuh, jangan melampau – Asyraf Wajidi

Muhasabah

Benar, kelihatan semuanya mungkin bagai satu ungkitan bila satu persatu dilontarkan. Tapi bukankah ungkitan itu satu fakta sejarah yang benar dan perlu direnung jika mahu permuafakatan ini dibawa terus ke depan untuk menghadapi musuh di medan yang sebenar.

Sejarah adalah satu renungan dan pengajaran dan bukannya satu ungkitan. Kerana daripada sejarah itulah kita perlu belajar supaya lebih menghargai dan menghormati orang lain kerana itulah sebenar prasyarat yang mahu didokong untuk sebuah persahabatan dan permuafakatan.

Masa masih ada, ruang juga masih terbuka untuk kita bermuhasabah. Tiada kesilapan dan kekhilafan yang tidak boleh untuk tidak dibaiki kerana perpaduan, penyatuan dan permuafakatan adalah usaha yang suci dan tulus.

Normal bersahabat ada ketika panas dan ada ketikanya sejuk. Sahabat dan teman sejati akan cuba memahami sebaiknya. Benar perlu jujur dan ikhlas, tetapi perlu juga mengambil kira dan menimbang adab dan tertib bersahabat. Secara mudah, jika tidak berselisih langsung, itu namanya kenalan, bukan sahabat.

Justeru, kembali fokus kepada objektif utama. Marilah kita sama-sama kembali merapatkan saf kerana tiada lain kita mahukan selain daripada perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya perpecahan adalah satu yang sangat mendukacitakan dan perlu dielakkan daripada berlaku.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Jeffrey Kitingan sahkan letak jawatan

 

Leave a Reply