Mira kongsi tip buat calon SPM

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Mira Filzah sempat meluangkan masa menyuntik semangat calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam seminar dalam talian, semalam.

Meskipun sibuk dengan tanggungjawab baru bergelar isteri dan melunaskan komitmen selaku hos program Nona, kemunculan Mira dengan gaya polos cukup selama 20 minit cukup bermakna buat calon SPM menerusi seminar dalam talian. Kemunculan Mira yang juga ikon PTTI nyata mencuri tumpuan ramai.

Membahasakan dirinya sebagai Kak Mira, Mira berkata, dia sedar pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia turut mengendurkan semangat untuk belajar.



Bukan hanya sesi persekolahan terbantut, malah tarikh SPM juga dianjak pada 6 Januari 2021. Bagaimanapun, peperiksaan percubaan SPM diadakan awal Oktober ini.

“Kalau tertekan, jangan paksa diri. Berehatlah seketika. Nak belajar dan buat ulang kaji kena tenang dan jalau serabut tiada guna juga. Nak serap ilmu kena dalam keadaan selesa.

“Cuba buat perkara yang boleh menghilangkan tekanan pada saat otak tepu. Seimbangkan dengan perkara lain. Saya ada membaca komen pelajar, kalau stres, tengok drama K-Pop.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan jangan, nanti tengok sampai berjangkit banyak episod pula.



“Cuba lelapkan mata seketika, tetapi elak tidur selepas waktu Asar. Nanti otak dan badan lagi penat. Kalau penat sangat pejam mata sebelum masuk waktu Zohor,” katanya.

 

Mira Filzah mahu meluangkan banyak masa bersama suami, apatah lagi dalam mproses berpindah ke rumah baharu. - Foto IG Mira Filzah
Mira Filzah mahu meluangkan banyak masa bersama suami, apatah lagi dalam mproses berpindah ke rumah baharu. – Foto IG Mira Filzah

 

Mira yang baru muncul dengan drama Bidadari Kiriman Tuhan bergandingan dengan Zul Ariffin juga berharap calon SPM dapat mengelak ketagih dengan dunia digital termasuk menggunakan telefon bimbit.



“Belajar menjarakkan diri dengan dunia digital. Memang sudah terbiasa memegang telefon bimbit, melayari program hiburan dan menggunakan pelbagai aplikasi berjam-jam.

“Ambil masa menikmati udara luar, contohnya bersenam dan berjoging. Pada masa sama, jaga penjarakan fizikal. Paling mudah, buat apa sahaja aktiviti yang digemari.

“Bagi calon SPM yang beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga dengan bangsa lain, berdoalah dengan Tuhan.

Minta restu ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mustajab. Jangan segan memeluk mereka dengan kasih sayang untuk beberapa saat,” katanya.



Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman yang pernah bergelar pelajar cemerlang SPM pada 2010 mahu menggalakkan pelajar menyertai seminar pengajian.

“Dengan kelompok pengikut dalam media sosial yang kebanyakan di kalangan pelajar sekolah, ia jadi lesen baik untuk mengajak belajar secara dalam talian.

“Melihat testimoni pelajar SPM yang berjaya dengan izin-Nya, ia satu penanda aras terbaik. Selama ini, pelajar sekolah memilih belajar sendiri, kenapa tidak menyertai seminar dianjurkan.

“Teknik, tip, cara dan formula diperkenalkan tenaga pengajar cukup efektif selain mudah. Proses memahami sesebuah subjek juga lebih baik,” katanya.



Sisi peribadinya, Mira berkata, mahu lebih meluangkan banyak masa bersama suami, apatah lagi proses berpindah ke rumah baharu.

“Saya tidak mengambil terlalu banyak projek lakonan dalam tempoh dua bulan. Saya akan kembali berlakon dalam drama terbitan Astro, penghujung tahun ini.

“Sekarang, saya hanya melunaskan penggambaran untuk program Nona kerana tidak mengambil masa yang panjang,” katanya-BH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker