Jabatan Mufti Kedah tunggu laporan forensik ‘kubur berdarah’

Alor Setar: Jabatan Mufti Kedah masih menunggu laporan Unit Forensik polis berhubung kejadian kubur yang dikatakan mengeluarkan cecair seakan darah di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al-Irfan, Derga, di sini.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan mengenai kejadian itu, namun sehingga kini masih belum menerima laporan ujian yang dibuat ke atas cecair berkenaan.

“Kita sudah melihat (tapak) kejadian itu dan kita tak dapat kenal pasti setakat ini apakah ia betul-betul darah manusia ataupun ia campuran daripada minyak dan cat berwarna merah.



“Bagaimanapun polis sudah ambil sampel cecair berkenaan untuk ujian forensik bagi mengenal pasti cecair berkenaan dan kita masih menunggu keputusan mengenainya,” katanya ketika ditemui hari ini

Dalam kejadian 19 September lalu, beberapa gambar dan video didakwa kubur berdarah tular di laman sosial.

Video berdurasi 19 saat itu menggemparkan masyarakat setempat.

Polis ke lokasi kejadian keesokan harinya bagi mengambil sampel cecair berkenaan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dikesan berlaku pada kubur berkenaan.

Sementara itu, Fadzil meminta penduduk Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak, yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran agar bertenang dan bersabar dalam menghadapi ujian berkenaan.



“Mereka diminta agar sentiasa berdoa agar Allah mengangkat ujian ini dan agar negeri ini bebas wabak Covid-19,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker