20,000 graduan dijangka dapat manfaat PENJANA KPT-CAP

Share

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mensasarkan seramai 20,000 graduan akan mendapat manfaat menerusi program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP).

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, terdapat tiga program utama yang digerakkan KPT di bawah peruntukan PENJANA KPT-CAP.

“Yang pertamanya ialah job matching and placement iaitu program dirancang untuk meningkatkan kemahiran peserta berdasarkan keperluan industri.

“Graduan yang mengikuti program ini dengan jayanya akan ditawarkan pekerjaan di syarikat yang memberikan jaminan pekerjaan melalui letter of commitment,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, turut dihadiri Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital.

Noraini berkata, keduanya membabitkan program berterusan keusahawanan iaitu program latihan yang berupaya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan sehingga berupaya menubuhkan syarikat pemula.

Jelasnya, graduan terbabit akan diberikan bantuan pembiayaan yang disediakan oleh agensi pembiaya yang diiktiraf.

“Ketiga pula ialah program yang bercirikan ekonomi gig. Program latihan ini mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk freelancing.

“Sehingga hari ini sahaja, sebanyak 140 program disusun membabitkan sinergi dengan tidak kurang daripada 100 syarikat,” ujarnya.

Tambah beliau, semua program yang dirancang di bawah dana PENJANA KPT-CAP berjumlah RM100 juta itu adalah manifestasi komitmen KPT untuk menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat.

Sementara itu, Noraini berkata, seramai 75,000 daripada 300,000 bakal graduan tahun ini diunjurkan mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan susulan pandemik Covid-19.

Jelasnya, unjuran itu dijangka berlaku dalam tempoh enam bulan selepas graduan menamatkan pengajian.

“Berdasarkan 41,161 graduan yang belum bekerja dalam tahun 2019, serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan seramai 116,161 graduan perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan lagi kebolehpasaran mereka.

“Antara ikhtiar dilaksanakan kementerian adalah dengan menyediakan kemudahan berbentuk bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini termasuklah inisiatif MyBrain Science; Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar orang kurang upaya (OKU),” kata beliau. MG

PENJANA KPT-CAP bantu siswazah sesuaikan diri dengan tuntuan baharu pekerjaan

Leave a Reply