Al-Sultan Abdullah masih jalani rawatan susulan di IJN

Share

KUALA LUMPUR, 28 Sept  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Isnin lepas, kini masih menerima rawatan susulan di pusat rawatan itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, rawatan keracunan makanan dilakukan sejak Seri Paduka dimasukkan ke pusat rawatan itu, pada 21 Sept.

Beliau berkata rawatan untuk intervensi pula dilakukan susulan pengimejan MRI pada 22 Sept, yang menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Al-Sultan Abdullah, ketika bersukan.

“Seperti sedia maklum, Seri Paduka sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bola sepak, skuasy, hoki dan golf.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 Sept, dan Seri Paduka kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan,” katanya.

Ekoran rawatan intervensi itu, Seri Paduka dinasihatkan menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat, setelah selesai menjalani rawatan susulan itu, kata Ahmad Fadil.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa kebimbangan dengan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara ini, yang melepasi tiga angka sejak semalam.

Kementerian Kesihatan dalam Twitter hari ini memaklumkan sejumlah 115 kes baharu COVID-19 dilapor hari ini, dengan jumlah kumulatif kes melebihi 11,000. Semalam jumlah kes baharu yang dilapor ialah 150 kes.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga menyatakan kebimbangan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Semenanjung, ekoran jangkitan mereka yang pulang dari Sabah yang telah merekodkan 36 kes sejak 20 Sept hingga semalam.

Sehubungan itu, katanya Seri Paduka menasihatkan agar rakyat menjaga kesihatan diri masing-masing dan sentiasa berwaspada, serta mematuhi ketetapan oleh kerajaan dan tatacara norma baharu, berikutan situasi semasa jangkitan virus COVID-19 di Malaysia yang kian meningkat.

Katanya seluruh rakyat turut diseru, bersama-sama mendoakan agar Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kesihatan berpanjangan.

Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN Isnin lalu, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatannya dan Yang di-Pertuan Agong dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor.

— BERNAMA

Leave a Reply