Lantik saja Salleh jadi KM jika terus buntu, kata Lokman

Lokman Noor Adam mencadangkan Salleh Said Keruak sebagai calon ketu menteri jika BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai kata sepakat berhubung perkara itu.

Dalam PRN yang berakhir semalam, Salleh yang merupakan bekas menteri menang di kerusi DUN Usukan.

BN mahu melantik Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri baru, manakala PN mencalonkan Ketua Bersatu Sabah Mohd Hajiji Noor.

Hari ini kedua-duanya mengadap Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin dan memutuskan agar Juhar membuat keputusan berkenaan perkara itu.



“Kalau TYT (Yang di-Pertua Negeri) tak boleh putuskan sama ada Bung atau Hajiji sebagai ketua menteri, Salleh Said Keruak, bekas ketua menteri Sabah dan menteri Komunikasi dan Multimedia yang cukup matang dan berpengalaman wajar dipertimbangkan sebagai ketua menteri Sabah yang baru,” katanya di Facebook.

Menurut Lokman, pentadbiran Sabah memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber serta dihormati kawan dan lawan.

“Salleh adalah calon terbaik dikalangan Adun BN dan PN yang menang,” katanya lagi.

Salleh menjadi ketua menteri Sabah pada 1994 hingga 1996.



Dia juga merupakan menteri komunikasi dan multimedia dari tahun 2015 hingga 2018.

Semasa menjadi menteri, dia antara yang mempertahankan perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang dihujani kritikan akibat skandal 1MDB yang akhirnya membawa kepada kekalahan BN pada PRU14.

Lokman juga dikenali sebagai penyokong setia Najib.

Pada Februari lalu, dia dipecar daripada Majlis Tertinggi Umno di tengah-tengah kritikan terhadap presiden Ahmad Zahid Hamidi yang membawa cadangan kerajaan perpaduan.



Semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – merangkumi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – menang dalam pilihan raya negeri selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN.

GRS juga mendapat sokongan tiga Adun bebas, menjadikannya memiliki kelebihan sembilan kerusi berbanding Warisan Plus yang diketuai Mohd Shafie Apdal.

Namun, sehingga kini gabungan itu belum ada kata putus berhubung siapa yang akan menjadi ketua menteri baru.

PN memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan GRS, dengan Bersatu mendapat 11 kerusi dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pula enam kerusi.



Bagaimanapun Umno berpendapat walaupun BN hanya memenangi 14 kerusi, kesemuanya disumbangkan oleh Umno – menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak dalam gabungan tersebut.

Kedua-dua pihak mengatakan berhak untuk menentukan calon ketua menteri baru.

Satu lagi anggota GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) pula menang tujuh kerusi. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker