Kisah sebenar di KLIA: “Daripada negatif COVID-19, boleh jadi positif” – Pengundi PRN Sabah

Share

KUALA LUMPUR: Sejumlah besar pengembara dari Sabah yang tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini terpaksa menunggu lebih tiga jam bagi menjalani saringan COVID-19.

Mereka yang kebanyakannya pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam kini diwajibkan menjalani saringan tersebut selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan itu pada Sabtu.

Salah seorang pembaca Astro AWANI yang enggan mendedahkan identitinya berkata, dia bersama semua individu yang tiba di KLIA dari Sandakan tengah hari tadi terpaksa menunggu lebih satu jam di pintu ketibaan tanpa sebarang pemakluman atau taklimat berkenaan proses saringan.

“Kami hanya diarahkan berdiri dan beratur di pintu ketibaan. Tidak ada seorang pun pegawai yang maklumkan kepada kami berkenaan apa yang perlu kami lakukan. Kami tunggu sahaja.

Mereka perlu beratur panjang dan terus menunggu sebelum menjalani saringan COVID-19. - Foto Pembaca Astro AWANI

Mereka perlu beratur panjang dan terus menunggu sebelum menjalani saringan COVID-19. – Foto Pembaca Astro AWANI
“Kawan saya dari Kota Kinabalu pada tadi pun mengalami situasi sama, hampir empat jam baru selesai semuanya,” katanya kepada Astro AWANI.

Dia yang tiba sekitar jam 2.50 petang tadi, masih lagi beratur menunggu saringan COVID-19 dilakukan ketika berita ini diterbitkan.

“Apabila kami satu penerbangan yang mungkin lebih 100 orang ini, tunggu dan beratur di satu tempat yang lama, itu juga mendedahkan kami kepada jangkitan.

“Mereka yang bebas jangkitan, mungkin boleh berjangkit kalau ada pembawa virus dalam penerbangan yang sama,” ujarnya.

Kawasan saringan COVID-19 di KLIA - Foto Pembaca Astro AWANI

Kawasan saringan COVID-19 di KLIA – Foto Pembaca Astro AWANI

Justeru, dia mengharapkan agar pihak berwajib seperti petugas KKM dan pasukan keselamatan dapat melancarkan proses tersebut.

“Mereka yang muda, perseorangan mungkin tak ada masalah nak menunggu. Tapi saya kasihan kepada mereka yang berkeluarga, ada anak kecil, terpaksa menunggu lama.

“Ada anak kecil yang menangis, mungkin kerana menunggu terlalu lama atau kelaparan,” katanya-Awani

Leave a Reply