Akhirnya 4 tokan dadah heroin tewas

Share

JEMPOL: Empat lelaki dipercayai tokan dadah berjaya ditangkap polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dalam empat siri Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini daripada 15 hingga 23 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kesemua lelaki tersebut yang berusia di antara 38 hingga 50 tahun turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah serta jenayah.

Malah menurutnya, dua daripada suspek iaitu berusia 50 tahun yang ditangkap di Kampung Bukit Kelulut, Serting Ilir pada 23 September dan suspek 48 tahun yang ditangkap di Felda Palong 3 pada 15 September lalu disahkan positif HIV.

“Dalam kes 23 September lalu, suspek yang dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di atas motosikal jenis Yamaha Sport sambil menyandang beg berwarna biru di tepi sebuah rumah.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri anggota serbuan dan berlaku pergelutan, namun suspek berjaya ditangkap. Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik besar lutsinar yang di dalamnya terdapat 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz dipercayai heroin dengan anggaran berat 43.64 gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jempol, dekat sini petang tadi.

Mohd. Hafiz berkata, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk satu rekod jenayah.

Menurutnya, bagi operasi 20 September di Ladang Gaddes pula, polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di atas motosikal jenis Yamaha 125 dengan enjin masih dihidupkan di tempat meletak kenderaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 38 tahun itu telah menemui beg galas berisi bekas plastik berwarna merah jambu mengandungi lima paket plastik dipercayai dadah jenis heroin seberat 49.5 gram dan dua paket ketulan jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 6.2 gram.

“Bagi kes ketiga pada 19 September lalu, suspek berusia 45 tahun ditangkap di kebun kelapa sawit Felda Pasoh 2. Suspek yang juga sedang duduk di atas motosikal cuba melarikan diri,” katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek tersebut yang mempunyai 15 rekod jenayah dengan 11 daripadanya membabitkan dadah, telah menemui 13 paket lutsinar kecil dadah dipercayai jenis heroin seberat 26.93 gram dan 15 paket lutsinar dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 14.96 gram.

“Turut ditemui satu bungkusan bekas plastik lutsinar kosong yang belum digunakan dan satu alat penimbang digital di dalam beg galas suspek,” katanya.

Manakala, menurut Mohd. Hafiz, bagi kes keempat membabitkan tangkapan pada 15 September di kawasan Felda Palong 3, suspek berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah.

Katanya, sebaik dihampiri berlaku pergelutan dan suspek yang berusia 48 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beg sandang suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau, menemui satu paket lutsinar berisi dadah dipercayai jenis heroin seberat 15.47 gram.

“Kesemua suspek yang merupakan penganggur itu kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi keempat-empat operasi berkenaan dianggarkan harga semasa dadah yang dirampas melebihi RM5,000 dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Batu Kikir, Pasoh dan Palong,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply