Perak ratah Felda, Shahrel ledak 4 gol

Share

IPOH: Penyerang prolifik, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi membuktikan kehebatannya apabila menyumbang empat gol ketika membantu Perak membaham Felda United FC 5-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Kemenangan terbesar Perak setakat ini itu sekali gus melonjak pasukan Bos Gaurus ke tangga kedua liga, sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam kerana Kedah tidak turun beraksi hari ini.

Dengan kemenangan itu, Perak mengumpul 17 mata, satu mata memintas Lang Merah yang akan bertemu Pahang malam esok.

Apa yang pasti malam ini nyata milik penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri yang membuka jaringan melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-17.

Jaringan itu ternyata mereda tekanan tuan rumah apabila pasukan pelawat lebih banyak mengasak sebaik sahaja sepak mula, cuma gagal melakukan penyudah.

Shahrel atau lebih mesra dengan panggilan Eki dalam kalangan rakan sepasukan bagaikan sukar disekat pada babak kedua apabila menyumbat tiga lagi gol.

Pemain itu menunjukkan ketajaman membuat penyudah apabila berada dalam kotak penalti dengan meledak gol pada minit ke-46, ke-69 dan ke-85

Perlawanan itu turut menyaksikan penyerang import Perak, Guilherme de Paula menyumbat gol untuk menamat kemarau jaringan sejak liga bersambung.

Felda United atau The Fighters bimbingan Mohd. Nidzam Jamil merapatkan jurang melalui jaringan Nicholas Leandro Velez pada minit ke-62. – UTUSAN

Leave a Reply