Maut ditikam selepas bertengkar

Selepas empat hari bertarung nyawa, Mohammad Haykal Che Haron, 25, yang ditikam dengan senjata tajam di tengah abdomennya di Seksyen 9 di sini, meninggal dunia di Hospital Shah Alam, petang semalam

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kejadian berkenaan didapati berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan dua lelaki yang sedang berniaga di hadapan sebuah restoran.

Katanya, mangsa difahamkan memarahi kedua-dua lelaki berkenaan tanpa sebab selain cuba menumbuk muka salah seorang daripada lelaki itu.

“Pada masa itu, seorang lagi lelaki yang melalui kawasan itu cuba meleraikan keadaan, namun mangsa bertindak mengejarnya sejauh 100 meter sebelum mangsa rebah dengan kesan darah pada bahagian perut.



“Siasatan awal turut mendapati tiada orang awam di kawasan itu melihat kejadian tikaman dan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak berfungsi disebabkan gangguan bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke hospital dan menerima empat kali pembedahan untuk menghentikan pendarahan dalaman.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditikam dengan objek tajam sekali di bahagian tengah abdomen dan tikaman itu terkena organ usus mangsa.

“Susulan kejadian, kita menahan tiga individu berusia 29 hingga 47 tahun yang mana salah seorangnya mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.



“Dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini manakala salah seorang suspek yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) penyakit mental yang dibebaskan dengan jaminan polis ditahan semula bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker