Suspek serang jiran dengan kapak ditahan

Share

KULIM – Seorang lelaki yang bertindak menyerang jirannya menggunakan kapak dan batu dalam kejadian di Kampung Dusun pada 6 September lalu, ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan di rumahnya.

Menurutnya, turut dirampas ialah sebilah kapak berukuran 78 sentimeter yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian terbabit.


“Dalam kejadian kira-kira 2 petang pada 6 September lalu, suspek dikatakan datang menyerang jirannya menggunakan kapak dan batu dipercayai akibat pengaruh dadah.

Suspek turut merosakkan tingkap rumah jirannya dengan memecahkan cermin. (Kapak yang disyaki digunakan suspek)

“Berdasarkan keterangan mangsa, sebaik sahaja pintu dibuka, dia ternampak suspek berdiri sambil memegang kapak di tangan. Mangsa yang berusia 27 tahun cuba menolak pintu menyebabkan suspek berang.


“Suspek dikatakan telah bertindak mengikat pintu rumah mangsa dengan kain dan membaling batu ke arah cermin rumah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, suspek turut merosakkan belakang kereta jenis Perodua Axia milik mangsa sehingga terdapat kesan kemek pada bahagian but kereta sebelum melarikan diri.

Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan.


“Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply