Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Shafie, kata Anifah

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua menteri Shafie Apdal berhubung tuduhan beliau dan abang serta ahli keluarganya memperoleh kontrak 100 tahun ke atas tanah milik Yayasan Sabah.

Anifah menyatakan tidak ingin terbabit dengan taktik kempen kotor oleh Shafie terhadap beliau dan keluarganya.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang selepas pilihan raya nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyatakan tindakan Shafie amat tidak bermaruah kerana sanggup memburukkan nama beliau serta keluarga semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).



“Takut sangat ke dia (Shafie) dengan saya?” soal Anifah.

Katanya, tindakan Shafie itu membuktikan beliau terdesak untuk memenangi PRN Sabah.

“Nampak gayanya Warisan tidak yakin akan pentadbiran mereka sendiri, sampai sanggup menjalankan kempen mencemar nama baik pihak lawan,” katanya.

Anifah berkata, tindakan Shafie itu tidak beretika serta tidak profesional dan menasihati beliau menghentikan politik kotor yang melibatkan keluarga orang lain.



“Saya tidak akan membuang masa ke atas ahli Parlimen Semporna tersebut. Saya akan menangani isu ini selepas pilihan raya.

“Sekarang ini, apa yang penting bagi saya adalah tetap fokus kepada rakyat Sabah,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker