‘PKP terpaksa dilaksana semula jika kes naik mendadak’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini, dengan mengingatkan tentang kesan buruk jika perintah kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula.

Dalam perutusan yang disiarkan secara langsung malam ini, Muhyiddin membangkitkan terdapat 615 kes baru sejak dua minggu lalu, dengan tiga daerah, iaitu Kota Setar di Kedah serta Tawau dan Lahad Datu di Sabah, kini dikategorikan zon merah.

“Saya ingin mengingatkan kita semua akan kesan sekiranya kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula.

“Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

“Kes harian Covid-19 yang direkodkan adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar. Ini memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya lagi.

Negara kini dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.

Setakat ini, terdapat 632 pesakit Covid-19 yang masih menjalani rawatan di Malaysia. Jumlah itu pernah menurun ke tahap dua angka, dengan bilangan terendah adalah 63 orang pada 9 dan 10 Julai.

Muhyiddin berkata lagi, Malaysia berisiko berdepan keadaan seperti yang melanda negara lain, di mana kes Covid-19 belum menunjukkan tanda untuk reda, malah ada yang diancam dengan gelombang baru.

“Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global,” katanya lagi.

Mengambil kira keadaan itu, dia berkata Malaysia tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara, malah akan terus diperketatkan untuk menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin.

“Tanpa rawatan yang spesifik dan vaksin yang berkesan serta selamat untuk menangani penularan jangkita, pembudayaan norma baru yang saudara dan saudari sedang amalkan pada waktu ini adalah suatu langkah yang amat kritikal,” katanya lagi. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker