Apa itu hawar berdarah punca kerbau ‘Mowgli Malaysia’ mati bergelimpangan?

SEKURANG-KURANGNYA 35 ekor kerbau peliharaan bapa ‘Mowgli Malaysia’ mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu.

Kematian haiwan ternakan yang menjadi kesayangan ‘Mowgli’ atau nama sebenarnya, Muhammad Syukor Khamis mengakibatkan keluarga itu kerugian lebih RM200,000.

Punca kematian haiwan ternakan itu akibat penyakit hawar berdarah.

Barangkali, sebilangan besar daripada pembaca pasti pernah mendengar penyakit hawar berdarah.



Namun, tidak kurang juga ada dalam kalangan kita yang kurang jelas apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan penyakit itu?
Artikel ini diharapkan dapat membantu menjawab kekeliruan dan pertanyaan ramai.

Apa itu hawar berdarah?

Memetik laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), penyakit Hawar Berdarah (Haemorrhagic Septicaemia) atau HS merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella multocida Carter’s Type B.



Adakah hanya berjangkit kepada kerbau?

Penyakit tersebut menyebabkan septisemia akut pada lembu dan kerbau, namun lebih mudah menjangkiti kerbau.
Menurut laporan yang sama, ternakan babi juga boleh dijangkiti HS pada kadar yang rendah.

Sementara itu, jangkitan pada bebiri dan kambing pula adalah jarang dilaporkan.

Bagaimana jangkitan penyakit HS boleh terjadi?



Penyakit HS disebabkan oleh salah satu daripada dua serotip Pasteurella multocida, iaitu serotip B:2 dan E:2.
Wabak penyakit di Malaysia adalah disebabkan oleh serotip B:2.

Simptom penyakit

Tanda-tanda yang ketara adalah:

a) Haiwan mengalami kemurungan
b) Bengkak di kepala, leher dan dada
c) Mulut dan hidung yang berbuih
d) Kongesi pada lapisan mucus membrane
e) Konjuntivitis
f) Sukar bernafas



Penyakit HS kerap menyerang pada musim hujan

Wabak penyakit tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi kekerapan penyakit meningkat pada musim hujan.
Kebanyakan jangkitan HS adalah akut atau perakut, yang menyebabkan kematian dalam jangka masa 8 – 24 jam selepas dijangkiti.

Menurut laporan DVS juga, jarang ada haiwan yang sembuh daripada penyakit HS.

Langkah pencegahan



Bagi mencegah dan mengawal penyakit tersebut, laporan DVS menyebut Protokol Veterinar Malaysia (PVM) HS telah menggariskan strategi berikut :

• Pelaporan
• Rawatan
• Vaksinasi
• Kawalan Pemindahan
• Survelan
• Pelupusan
• Pengurusan Fail Kes
• Dayajejak
• Langkah Biosekuriti
• Khidmat nasihat
• Kempen kesedaran awam
• Rekod
Sumber Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker