BN, PPBM dijangka bertanding 49 kerusi DUN Sabah

Share

Barisan Nasional (BN) dan PPBM dijangka masing-masing akan bertanding di 30 dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sumber berkata, pembahagian kerusi itu dikatakan dipersetujui oleh kedua-dua pihak baru-baru ini.

”Sebahagian kerusi yang akan ditandingi Umno adalah yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu, namun ada beberapa kerusi yang terpaksa dilepaskan sebagai pertukaran dengan PPBM,” katanya ketika dihubungi.


Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa, di akaun Twitternya, mengucapkan tahniah kepada pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin dan pengerusi PPBM, Hajiji Noor kerana berjaya menyempurnakan pembahagian kerusi antara 2 parti itu.

”Saya ucapkan tahniah pada Bung dan Hajiji kerana menyempurnakan muafakat dan susunan pembahagian kerusi dengan begitu baik bijaksana.

”Kedua-dua begitu komited membela bumi Sabah,” kata beliau.


Sekiranya pembahagian kerusi antara BN dan PPBM telah selesai, maka ini bermakna 2 parti itu bakal bertanding di 49 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Ini juga bermakna, hanya tinggal 24 lagi kerusi yang akan dibahagikan antara parti lain yang bersama-sama mereka menentang Warisan Plus.

Parti-parti berkenaan ialah komponen Perikatan Nasional, iaitu STAR dan SAPP serta sekutu mereka Parti Bersatu Sabah (PBS).


Bagaimanapun, pembahagian kerusi itu dijangka lebih rumit selepas presiden STAR, Jeffrey Kitingan, hari ini, mengumumkan parti itu akan bertanding di 15 kerusi, selain 3 lagi kerusi dikatakan masih dalam perbincangan.

Jeffrey seperti dipetik dalam laporan Harian Metro, berkata, STAR sebelum ini meminta 18 kerusi dan mendapat 15.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan senarai penuh kerusi yang akan ditandingi parti itu.

Sementara itu, sumber PBS ketika dihubungi berkata, parti itu masih dengan pendirian untuk bertanding di 30 kerusi yang dipercayai boleh dimenangi.

”Bagaimanapun, atas semangat kerjasama untuk membolehkan PN memenangi sebanyak kerusi yang boleh, kami masih terbuka untuk perbincangan.

“Namun seperti yang saya katakan tadi, kami sudah mengenal pasti jumlah kerusi yang kami lihat berpeluang untuk menang,” katanya. FMT

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!