Hero MBJB terima penghargaan MB

JOHOR BAHRU: ‘Hero’ Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerima pengiktirafan atas jasanya menahan seorang peragut dalam kejadian Selasa lalu.

Shazrin Hafeez Fadzlan, 26, bukan sahaja menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000 malah tawaran jawatan tetap sebagai Pembantu Kesihatan Awam MBJB.

Lebih manis, sijil penghargaan itu diserahkan sendiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semasa lawatan kerjanya ke MBJB hari ini.

Shazrin Hafeez diangkat sebagai hero MBJB oleh masyarakat apabila videonya bergelut dengan seorang peragut di Taman Mount Austin, Selasa lalu tular dalam media sosial.

Terlebih dahulu masyarakat berbilang kaum turut menyatakan penghargaan atas tindakan pantasnya itu dengan menyerbu gerai burger yang diusahakan di Taman Johor Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penjenayah terbabit yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun ketika mangsa sedang melintas jalan.

Mangsa yang terkejut dan ketakutan menjerit meminta tolong sebelum disedari seorang penguat kuasa yang sedang bertugas berlari memberkas suspek dan dibantu orang awam.

Sementara itu, dalam lawatan kerja tersebut, Hasni turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk memudahkan rakyat negeri ini yang mahu berniaga.

Katanya, langkah itu tidak bermakna tiada penguatkuasaan dilakukan, sebaliknya gunakan keprihatinan dalam sesuatu tindakan.

“Saya berharap MBJB boleh mengambil langkah untuk membantu, khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita perlu mengambil langkah di luar kebiasaan. Kalau boleh kita perbanyakkan inisiatif foodtruck bagi memberi peluang untuk orang ramai menyara hidup mereka.

“Tunjukkan keprihatinan dan rasa simpati kita kepada masyarakat dalam semua sektor yang ada di luar sana,” katanya sambil berharap imej PBT di negeri ini menjadi lebih mesra masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker